Monday, April 21, 2008

BUKAN SEBARANG BANK



"Encik, memandangkan anak encik tidak cukup bulan,susu yang paling baik adalah susu ibu" Doktor memberitahu En Dollah.


"Ya ke doktor, tapi isteri saya masih belum sedarkan diri selepas pembedahan,macam mana dia hendak menyusukan anak kami" dengan gusar En Dollah mengajukan pertanyaan kepada doktor.


"Tidak mengapa, kami boleh ambil dari bank" tanpa ragu doktor terus memberitahu.


"Bank??!!, bank mana pulak ni doktor, Maybank?, Bank Rakyat ke Bank Islam...mana diaorang ada jual susu ibu di situ?, doktor jangan lah bergurau dengan saya" En Dollah tidak dapat menyembunyikan perasaan kurang senang dengan kenyataan doktor itu.



"Bukan, bank susu ibu" doktor terus memecahkan rahsianya.


"Ha, susu manusia pun ada bank?!"






Dapatkah kita bayangkan bahawa suatu hari nanti, kita akan diajukan persoalan yang sama seperti dialog di atas?


Walaupun ini adalah dialog rekaan saya, saya hampir pasti kejadian seperti ini mungkin tidak mustahil akan berlaku.


Mungkin ada yang bertanya , betul ke adanya kewujudan bank susu ibu?


Apa sahaja yang berkaitan dengan susu ibu menjadi topik kegemaran saya. Bila ada seseorang yang berkongsi keghairahan tentang susu ibu , saya seperti merasakan perasaan saya 'berbunga-bunga" dan semangat serikandi atau mungkin lebih tepat dikatakan naluri keibuan saya akan mula membara :)

Jadi , bila Professor Dr Zulkifli Yusof membincangkan kesimpulan tentang perbincangannya berkaitan dengan susu ibu di radio IKIM.fm pagi Jumaat 2 minggu lepas maka saya sangat teruja.


Alhamdulillah, pemanduan saya tidak sedikit pun terganggu dengan kedua belah telinga saya 'menadah' ilmu dari corong radio kereta saya.



Selepas beberapa minggu Prof Zul membincangkan berkenaan penyusuan susu ibu dari perspektif Al-Quran termasuk peranan bapa, maka minggu itu, beliau akan membuat kesimpulan.

Dan, di akhir perbincangannya , maka timbulnya soal bank susu ibu.

Secara peribadi, beliau tidak bersetuju dengan kewujudan bank susu ibu ini di atas 2 sebab yang ketara.


Pertama,adalah kerana masalah muhrim.Umum mengetahui tentang adanya ikatan muhrim diantara adik-beradik susuan.Jadi sekiranya seseorang bayi meminum susu ibu dan tidak diketahui siapa pula tuan punya susu itu, maka tidak mustahil ikatan perkahwinan boleh berlaku diantara 2 adik-beradik susuan yang diharamkan.

Yang kedua, adanya soal-soal komersial yang membabitkan untung rugi, dan tentunya soal 'supply and demand" akan mewarnai persoalan kewujudan bank susu ibu ini dan tidak mustahil akan wujudnya anasir-anasir yang tidak sihat seperti akan menyebabkan masalah sosial di kalangan ibu-ibu miskin yang terpaksa menjual susu mereka untuk wang dan seterusnya boleh menjejaskan kesihatan para wanita.







Entah mengapa, perasaan saya berkobar-kobar untuk mengetahui lebih lanjut tentang bank susu ibu ini.


Mungkin kita biasa mendengar bank duit dan bank darah tetapi amat jarang tentang bank susu ibu ini, walaupun saya pernah mendengarnya dan pendapat yang saya dengar berkaitan dengan bank susu ibu ini agak kontradik dengan kenyataan Prof Zul tadi.


Jadi bermulalah pencarian saya di dunia maya....


Mengikut sejarahnya, bank susu ibu ini bermula di awal abad ke 20 apabila proses pempasteuran susu telah diperkenalkan dan amalan ibu susuan sudah tidak menjadi amalan lagi.


Sekarang di seluruh dunia, terdapat beberapa buah bank susu ibu termasuk tujuh di Amerika Syarikat.


Saya tidak pasti pula dengan status di negara majoriti umat Islam.


Mahu tahu bagaimana proses penyimpanan susu ibu di banknya?


"kumpulan" (pool) susu ibu dari sekurang-kurangnya tiga penderma susu akan digabungkan

Kemudian ia dibahagikan kepada botol-botol kecil lebih kurang 3 auns dan dipasteurkan pada 62.5 darjah Celcius selama 30 minit.

Kemudian dibekukan pada -20 darjah Celcius, dan ia boleh tahan selama 12 bulan dari tarikh pemerahan yang paling awal di dalam gabungan susu ibu itu tadi


Pemantauan kualiti dari segi kebersihan dan keselamatan pengguna dijalankan dengan mengambil sampel susu secara rambang untuk dibuat kultur. Sekiranya dalam masa 48 jam tiada bakteria yang tumbuh di kultur media, maka susu itu boleh digunakan.


Sekiranya ada preskripsi doktor, maka susu itu akan dihantar ke hospital yang berkenaan.


Saya menyedari, prosedur ini hampir menyamai prosedur di tabung darah.


JADI PERSOALANNYA, APAKAH KEDUDUKAN BANK SUSU IBU INI DI SISI ISLAM?

Menarik bukan?, dengan kemajuan teknologi terkini, ijtihad Islam juga sering diperlukan untuk memberi nilai kepada sesuatu perkara di dalam banyak bidang dan kewujudan bank susu ibu ini juga tidak harus dipandang sepi oleh para ulama'

Saya terus mencari.....

Di dalam koleksi hukum-hukum Islam di dalam ruangan sudut hukum di IKIM, saya terjumpa serba-sedikit ulasan yang menarik. Juga di satu ruangan cyber yang membincangkan perkara ini dengan lebih detail.


Dr Yusuf Al-Qaradawi membenarkan kewujudan bank susu ini asalkan untuk mewujudkan maslahat syar 'iyah yang kuat dan untuk memenuhi keperluan yang wajib.



Beliau berhujjah bahawa kewujudan bank susu ini didukung oleh Islam untuk memberi pertolongan kepada yang lemah, lebih-lebih lagi bayi yang baru dilahirkan.


Dan bagi yang menyumbangkan susu ibu itu , wanita itu beroleh pahala dari Allah malah dibolehkan untuk menjual air susunya, mengambil senario di zaman Rasulullah kerana wanita di zaman Nabi menjadi ibu susuan sebagai mata pencarian.



Selain beliau kewujudan bank susu ini juga dihalalkan oleh Al-ustaz Asy-Syeikh Ahmad Ash-Shirbasi, ulama' besar Al-Azhar Mesir,bersandarkan hujjah kesaksian diperlukan untuk menyatakan hubungan mahram yang diakibatkan kerana penyusuan susu ibu.


Ulama' kontemperari terkenal Dr Wahbah Az-zuhaily di dalam buku fatwanya tidak membenarkan kewujudan bank susu ibu ini.




Pendapat beliau juga selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majma' Fiqih Al-Islami yang dikeluarkan pada tahun 1985.






JADI BAGAIMANA PULA DENGAN HUBUNGAN MAHRAM DI ANTARA SAUDARA SUSUAN BAGI YANG MENGGUNAKAN SUSU DARI BANK INI?

Bagi Dr Yusuf Al-Qaradawi, beliau mengambil hujjah dari Surah An-Nisa' ayat 23 :


حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالاَتُكُمْ وَبَنَاتُ الأَخِ وَبَنَاتُ الأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاَّتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu ...



Beliau menyatakan bahawa penyusuan yang melahirkan hukum haram perkahwinan dan lain-lainnya merujuk kepada perkataaan rada'ah yang bermaksud penyusuan menerusi puting ibu ke mulut sesorang bayi , sambutan bayi berkenaan terhadap penyusuan itu dan pergantungannya dengan si ibu yang menampilkan suasana mesra dan manja di antara kedua-duanya.


Justeru, ada 3 perkara asas untuk hukum rada'ah ini :


1. ibu tertentu untuk memberi penyusuan itu

2. hisapan bayi pada puting ibu berkenaan


3. kedudukan bayi di atas riba yang seterusnya mewujudkan perasaan kebergantungan, kemesraan dan kemanjaan di antara kedua-duanya.


Sehubungan dengan itu , Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan yang 3 perkara ini tidak terjadi di dalam penyusuan susu dari bank susu.


Kita tidak dapat mengenali personaliti ibu sebenar kerana susu itu dikumpul dari ramai wanita, juga tiadanya hisapan terus dari puting ibu dan seterusnya tiadanya rasa kebergantungan, kemanjaan dan kemesraan di antara anak dan ibu.


Bertitik tolak dari hujjah itu, justeru Dr Yusuf Al-Qaradawi mendapati tidak timbul lagi masalah halangan perkahwinan di antara sesama anak susuan dan masalah yang lain lagi.


Bagi ulama yang mengharamkan bank susu ini, tidak ada kriteria menyusu harus dengan proses menghisap dari puting susu ibu, cukup dengan meminumnya bukan cara meminumnya.



Hadis sahih ini , diriwayatkan dari Bukhari dan Muslim menjadi asas hujjah mereka :

Dari Aisyah ra berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, " Perhatikan saudara laki-laki kalian, kerana saudara persusuan itu akibat kenyangnya menyusu.


Dengan memegang kepada hadis ini yang mengatakan hubungan kemahraman itu akibat dari kenyangnya menyusu justeru, ada sebahagian ulama' yang mengharamkan kewujudan bank susu ini dan tidak boleh menggunakannya.


Saya tidak pasti , apakah status terkini fatwa berkaitan bank susu ini di Malaysia.


Artikel dari sudut hukum IKIM itu mengambil hujjah dr Yusuf Al-Qaradawi untuk membolehkan kewujudan bank susu ibu ini, namun saya tidak pasti samada ia telah dibincangkan di peringkat fatwa Kebangsaan.


Walaupun, setakat ini, bank susu ibu belum lagi wujud di Malaysia,saya secara peribadi merasakan bahawa perlunya pengamal perubatan Muslim dan para ulama' merasa peka dengan isu ini.


Tidak mustahil satu hari nanti keperluan susu ibu akan meningkat sehingga perlunya diwujudkan satu bank susu dan pada waktu itu, semua ilmuan Islam dari pelbagai bidang perlu duduk semeja untuk membincangkan permasalahan ini.....


Saya dapat merasakan perasaan bercampur-baur di dalam hati semua ibu yang menyokong penyusuan susu ibu ini.


Sebolehnya kami ingin lebih ramai bayi dapat menikmati susu semulajadi ciptaan Ilahi ini kerana memang telah terbukti berkhasiat dari segi jasmani dan juga rohani.


Dengan kewujudan bank susu ibu ini, memungkinkan lebih ramai bayi dapat menikmati susu ibu tetapi persoalan hukum dan etika wajar dipertimbangkan sebelum apa-apa keputusan dibuat.


Yang pasti, bagi mereka yang boleh menyusukan anak masing-masing, wajarlah merebut peluang yang diberi oleh Yang Maha Mencipta untuk menggunakannya dengan sepenuhnya.
Sokongan moral dari suami, keluarga dan juga majikan sangat-sangat diperlukan oleh ibu-ibu menyusu di abad ini.


Semoga dengan ini, akan lahirnya generasi yang lebih baik.....

Allahu'alam


Ummuzulfa
22 April.
2 am











1 comment:

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Monitor de LCD, I hope you enjoy. The address is http://monitor-de-lcd.blogspot.com. A hug.

Free Counters
Petco Promotion Code