Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.
Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.
Andai kota itu peradapan, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.
Bukan sekali, bukan dua kali juga bukan tiga kali malah berkali-kali ungkapan itu diulang-diulang di dalam novel kecil tapi padat ini.
Tuhan Manusia....
Karya Faisal Tehrani (saya gemar dengan kata singkatan FT)
Tuhan Manusia berkisar kepada pergolakan jiwa remaja yang serba ingin tahu setelah abangnya murtad dan ayahnya menyendiri selepas peristiwa hitam yang menimpa keluarganya itu.
Dengan watak utama remaja 17 tahun diberi nama Ali Taqi (FT sangat gemar dengan nama ini, kenapa ye? Allahu 'alam), Ali Taqi mencari-cari sebab-musabab kenapa abangnya murtad.
Justeru, terjumpalah ia dengan dengan pelbagai aliran pemikiran manusia yang dilabelkan dengan pelbagai nama....Pluralisme, sekuralisme, positivisme dan pelbagai ism yang lain.
Dengan bantuan guru, abang senior dan cerdik pandai, sedikit demi sedikit terurailah kebingungan dan kecelaruan pemikirannya.
Perjalanan Ali Taqi sangat panjang, bukan dari segi masa tetapi dari segi perjalanan pemikirannya dan pencarian hujah untuk menangkis justifikasi abangnya yang murtad atas dasar semua agama itu membawa kebaikan maka apalah salahnya dia ingin keluar dari Islam.
Di tengah-tengah pencarian makna kehidupan dan falsafah hakikat ketuhanan, Ali Taqi dikejutkan dengan berita gembira, kawan baiknya seorang yang berbangsa Tiongha memilih untuk bersama dengannya dalam satu aqidah.
Jika abangnya meninggalkan Islam melalui falsafah hidup yang keliru, maka Tze telah Islam, juga kerana falsafah yang telah diyakini hujahnya.
Setelah pencarian yang merentas benua dan masa, Ali Taqi berjaya merungkai persoalan besar hidupnya itu dan sejahtera dengan ilmu dan keyakinan yang diperolehi setelah mencedok ilmu dari manusia pelbagai latar belakang.
Bagi saya secara peribadi, Tuhan Manusia adalah sebuah buku falsafah, sekurang-kurangnya cuba untuk dihuraikan di dalam bentuk novel dan dalam bahasa yang agak mudah.
Namun begitu, bagi saya yang beraliran "hard-core science", yang otak kanan yang mungkin tidak seaktif otak kiri, maka beberapa perkara sukar juga digarap untuk pertama kali.
Beberapa istilah bahasa Arab dan ilmu falsafah kedengaran tersangat asing pada saya.
Bukan sekali saya terpaksa 'reverse' ke muka surat belakang untuk menambah faham maksud yang ingin diperkatakan oleh penulis.
Saya tidak putus asa untuk menghabiskan bacaan.
Malah saya gembira kerana selepas mengkhatamkan buku ini, sekurang-kurangnya saya mendapat sedikit pencerahan untuk maksud pluralisme yang sering diutarakan oleh golongan liberal.
Pelbagai versi maksud pluralisme dapat saya hayati di dalam buku ini.
Walaubagaimanapun, masih banyak lagi yang saya perlu baca dari pelbagai sumber yang boleh dipercayai untuk menambah yakin dan ilmu.
Ilmu falsafah, tanpa asas yang kuat, mampu sahaja menjarakkan manusia itu dari Tuhan sebagaimana ia mampu mendekatkan diri manusia kepada Tuhan jika ia dipandu oleh Al-Quran dan As-sunnah.
Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama...
Jika ditanya, apakah yang saya faham dengan ungkapan terbanyak yang disebut oleh FT di dalam buku ini.....
Saya juga tidak pasti...
Dengan segala keterbatasan pemikiran saya, ringkasannya mungkin berbunyi begini......jagalah agama kerana jika runtuh agama maka akan musnahlah budaya dan ranaplah satu ketamadunan...dan akan lenyaplah sebuah kehidupan.
Bagi mereka yang ingin tahu versi ism-ism yang sering dinyanyikan oleh golongan tertentu terutamanya pluralisme...buku ini boleh memberi pencerahan..tetapi yang pasti buku ini bukan buku terakhir dan kata muktamad terhadap segala persoalan falsafah kerana banyak lagi yang boleh digali di luar sana....
Apapun, karya FT yang satu ini boleh dimanafaatkan bagi mereka yang ingin tahu.
Ummuzulfa 15 April 2008
No comments:
Post a Comment