"biar saya periksa ya.....sekarang masih 'breech' lagi...takpe, masih 24 weeks, ada banyak masa lagi dia nak pusing, "Dr Marina , pegawai perubatan yang bertugas, juga sahabat saya tenang memberitahu.
"It's only 30 weeks, don't worry...give it some time", ujar Dr Tan, pakar sakit puan setelah memeriksa saya.
"Looks like it's still breech, eventhough it's already term, would you like to try SVD(spontaneous vaginal delivery), some more your baby is quite small ." sekali lagi Dr Tan mengusulkan cadangan.
Anak kedua saya kandungkan semasa kakaknya berumur kurang setahun, dan ketika itu masih lagi terbeban dengan tugasan hakiki yang kurang manusiawi, memang menguji kesabaran mental saya dan suami.
Dan doktor, setiap kali melakukan ultrasound scanning, akan mengatakan kedudukan anak saya songsang dengan kepala di atas....subhanallah.
Saya rasa anak kedua saya memang ingin dekat dengan degupan jantung saya.
Bersalin secara normal bagi saya adalah impian setiap bakal ibu, walaupun kini, bersalin melalui pembedahan boleh dilakukan walaupun bukan atas sebab perubatan.
Justeru, bila Doktor Tan memberi pilihan untuk saya bersalin secara normal, saya bersetuju. Dengan kelahiran yang kedua, dan saiz kandungan yang kecil, risiko bersalin songsang ini boleh dikurangkan walaupun ia lebih berisiko dari bersalin secara pembedahan.
Ini kerana kandungan songsang saya adalah jenis "frank or extended breech" di mana kakinya lurus ke atas dan bersalin melalui saluran vagina adalah dibolehkan.
Bila tiba saat bersalin, suami menemani saya di bilik bersalin....alhamdulillah, kehadiran orang tersayang di saat genting memang memberi semangat yang luar biasa.
Doktor membuat torehan episiotomy yang agak besar kerana kepala akan keluar selepas kaki dan badan, dan dengan jalan keluar yang luas, risiko untuk kepala tersangkut boleh dikurangkan . Saya amat menyedari komplikasi bila kepala tersangkut di saluran vagina , aliran darah ke kepala mungkin tersekat dan boleh menyebabkan kecacatan kepada anak...na'u dhubillah...
Alhamdulillah...Allah permudahkan urusan saya. "Push" (teran) kali pertama, punggung bayi keluar dan doktor menarik (dengan penuh skil) kedua kaki supaya ia akan keluar, untuk kali kedua pula, 'push' untuk keluarkan badannya. Pada masa ini, bayi akan seperti tergantung dengan kepalanya masih di dalam badan saya.Pada masa ini, saya dapat rasakan 'kengerian' yang dihadapi oleh suami saya tetapi beliau tetap tabahkan hati dan tidak pengsan :D. Ada kilauan jernih di kelopak matanya.
Alhamdulillah..'push yang seterusnya..... Nurul Iman dilahirkan ke dunia pada 7 ;36 pagi 17 April 2000.
Bertambah lagi seorang anak perempuan saya.
Nurul Iman nama diberi....pada mulanya ramai juga orang yang kehairanan kenapa nama itu menjadi pilihan suami saya, tetapi lama-kelamaan, nama itu semakin ramai digunakan.
Iman menjadi antara dugaan terbesar kami.... agak kuat menangis...walaupun kami lebih gemar menggelarnya dengan mengaji bukan menangis....
Pernah dalam satu minggu, tepat pukul 4 pagi Iman akan bangun dan menangis tanpa henti sehingga subuh.Walaubagaimanapun, rekod saya sebagai 'penangis professional' di dalam keturunan saya di kedua belah ibu dan abah masih kekal dalam genggaman.
Jadi anak saya hanya mewarisi sebahagian sahaja dari 'kemahiran' itu...fakta yang sangat melegakan hati saya...:D
Kata orang tua-tua, kalau budak kuat menangis, nanti dah besar jadi budak pandai...allahu'alam.
Tidur perlu dibuai dengan kuat, sampai badannya bergegar atau perlu ditepuk punggungnya dengan kuat juga sampai badannya bergegar, barulah boleh tidur...
Pernah satu ketika, saya ditegur oleh sepupu saya kenapa pukul anak kuat sampai macam tu.... puas jugalah saya perlu menerangkan perangai anak kedua saya ini.
Cengeng Iman, terbawa-terbawa sampai ke besar, hampir setiap hari, Iman akan menangis bila ke sekolah, boleh hilang sabar juga kadang-kadang.
Walaubagaimanapun, Iman seorang yang cerdik di sekolahnya, alhamdulillah, markahnya selalu juga memuaskan.
Iman sangat gemar dengan budak-budak, sebab itu dia tidak keberatan untuk menjaga adik kecil bila disuruh.
Pernah dia bercerita kepada makciknya bahawa dia tidak sabar ingin besar dan kahwin dan dapat anak ,ingin jadi suri rumah sebab boleh hantar dan jemput anak ke sekolah...
Hai..budak-budak zaman sekarang...macam-macam....
Hari ini, Iman genap 8 tahun, terasa begitu pantas masa berlalu, lagi sepuluh tahun dia akan berumur 18 tahun, Insya Allah.
Alhamdulillah, Allah menganugerahkan perasaan lupa pada rasa sakit bersalin itu.
Ummi berharap agar Iman menjadi anak yang solehah, menghormati kedua ibu bapa dan orang yang lebih tua, dan berjaya di dunia dan akhirat.
Solat jangan sekali-kali ditinggalkan, kerana ia tiang agama.
Jadilah manusia yang dapat memberi kebaikan kepada umat manusia keseluruhannya.
Nurul Iman..dahulu ubun-ubunmu dekat dengan ummi
aliran arus degupan nadi ummi
mungkin menjadi zikir dan penenang hidupmu
lebih 9 bulan kau enggan beralih arah
Kesakitan tidak terasa bila tangisanmu memecah suasana
ditatang, dipeluk setiap masa
agar selesa dan membesar dengan sempurna
Nurul Iman.....namamu sesuci embun pagi
Harapnya iman bersemi di dalam hati
Dijaga dibaja jangan diberi mati
sebagai bekalan untuk mengadap ilahi
Doa ummi tidak pernah terleka
agar ummi dapat mendidikmu sentiasa
semoga kelebihan dapat dibina
dan agama terus dibela
Maafkan ummi jika terkurang tercela
jauh sekali ingin membeda
semoga kasih sayang kita berdua
bersemi sehingga ke dalam syurga
Allau'alam
ummuzulfa
17 April 2008