“Eh, mana boleh buat macam tu, nabi takde buat, bidaah tu…”
“Bidaah ni, kalau buat, tempatnya neraka lah….”
Bagi sesiapa yang biasa mengikut perbincangan-perbincangan agama, maka persoalan sunnah dan bidaah ini memang sering dibincang dan didebatkan.Malah kadang-kadang perbincangan itu boleh menjadi sangat emosi dan melampaui batas.Namun, kebiasaannya persoalan bidaah ini adalah berkisar soal yang berkaitan dengan ibadah, tidak pernah pula ia dikaitkan dengan persoalan muamalah dan wang terutamanya.
Wang yang tidak ada apa-apa nilai intrinsik ini adalah riba' yang besar.Hajjah Nik Mahani, salah seorang penulis di dalam majalah ini , walaupun dengan nada yang agak keras menempelak sistem ekonomi semasa termasuk perbankan Islam, namun bagi saya adalah sesuatu yang patut difikirkan bersama.
Tetapi sambungan tulisan -tulisan beliau tidak lagi keluar di majalah itu.
Milenia Muslim juga adalah bahan bacaan yang memperkenalkan wang dinar dan dirham kepada saya.Banyak yang diperkatakan tentang kebaikannya di samping dinar dan dirham ini adalah matawang yang disebut di dalam Al-Quran dan sememangnya digunakan di zaman Rasulullah sehinggalah ke zaman Khilafah Islam yang terakhir.
Image via Wikipedia
Justeru saya memikirkan, sekiranya dinar dan dirham adalah wang yang disunnahkan kepada manusia, pastinya wang fiat yang kita gunakan sekarang ini adalah wang bida'ah, malah adalah wang riba'.
Rentetan dari itu, saya terus mencari lebih banyak bahan bacaan berkaitan dengan dinar ini.Di antaranya ialah website dinar emas kelantan, jutawanemas.com dan tulisan Umar Ibrahim Vadilo.
Bukankah ilmu adalah penyelamat dan asas kejayaan bagi umat manusia?
Semua itu membuatkan saya menyedari beberapa perkara....
Sekiranya saya menyimpan duit sebanyak RM10 ribu untuk kegunaan anak saya masa hadapan, 10-20 tahun akan datang nilai itu mungkin hanya menjadi separuh dari itu.Kerana nilai wang yang semakin merosot.
Sekiranya saya menyimpan di dalam 'fixed deposit" dengan keuntungan 2-3% setahun, tetapi kadar inflasi adalah mencecah 10% maka nilai duit saya sebenarnya menguncup walaupun, nampak macam sudah bertambah RM nya.
Hmm....bukankah rugi namanya tu?
Saya juga sedikit sebanyak mengetahui tentang pelaburan yang terbaik adalah dengan memilki emas fizikal.Ini tidaklah bermakna saya memiliki berkilo-kilo emas namun sekurang-kurang ada satu ilmu yang saya dapat dari pembacaan saya selama ini.
Saya masih terus mencari ilmu berkaitan dinar emas ini dan bila saya mengetahui adanya seminar yang membicarakan dinar emas di ILIM baru-baru ini, saya tidak melepaskan peluang untuk mengikutinya.
Ia adalah satu perbincangan akademik yang cuba untuk membincangkan banyak aspek dari penggunaan wang dinar di dalam transaksi eknonomi.
Ada perbincangan yang menjurus kepada persoalan sirah dan perbincangan hukum, ada yang fokus kepada urusan perdagangan di peringkat komuniti dan antarabangsa dan tidak ketinggalan bagaimana strategi untuk menjadikan dinar-dirham ini sebagai matawang yang akan menggantikan wang fiat hari ini di celah kekangan perundangan antarabangsa.
Rata-ratanya, para cendekiawan ekonomi Muslim bersetuju dengan satu perkara iaitu, punca 'economic meltdown' ini ialah dengan penggunaan wang fiat ini dan dinar-dirham menjadi salah satu cara penyelesaian yang terbaik walaupun ada ahli akademik yang berpendapat yang penggunaan wang dinar ini mungkin boleh membawa mudharat ekonomi sekiranya tidak diurus dengan baik.
Ramai ahli akademik yang terlibat dan rata-rata mereka telah membentangkan pembentangan mereka dengan baik.
Banyak perkara yang saya belajar....
"Gresham law"
"Kerajaan Rom, Sasan"
"derivative bubbles"
Antara yang menarik....
"eventhough they are saying that Islamic banking is resistant to this crisis, but as head of Islamic banking and finance institute in my university, let me tell you....it is not true, because we are still using fiat money"
Image via Wikipedia
Itu adalah antara kata-kata yang sempat saya ingat dan membuatkan saya banyak berfikir.
Hajjah Nik Mahani yang juga telah membentang kan kertas kerja beliau banyak menekankan tentang riba' satu dosa besar yang Allah telah mengisytiharkan perang ke atas mereka yang mengamalkannya.
Ini membuatkan saya mengimbau kembali kuliah syariah yang saya pernah lalui di UM tahun lepas.....
"umat islam kita kalau cakap pasal khinzir dalam makanan, haram maka cepatlah ambil tindakan tapi kalau pasal riba' yang juga satu dosa besar dan Allah telah mengisytiharkan perang ke atasnya tapi umat Islam masih ramai yang tak prihatin"
Beliau yang agak emosi banyak mengeluarkan ayat-ayat Al-Quran yang bertujuan untuk menyedarkan umat islam tentang bahaya riba' dan perlunya kembali kepada penggunaan dinar-dirham.
"Hak dan sifat Allah sebagai Ar-Razaq telah dirampas"
"Betapa daifnya cendiakawan Islam abad ini berkaitan dengan muamalah Islam kerana telah lama dicengkam dengan sistem ekonomi kapitalis ini"
Beliau merasa kesal dengan penglibatannya selama ini dengan sistem perbankan (walaupun ia dinamakan sebagai Islam) dan ingin menebus kesalahan dengan berusaha untuk memperkenalkan semula dinar-dirham kepada masyarakat.
Beliau juga yang merupakan salah seorang 'think-thank' Dinar Emas Kelantan juga ada menceritakan tentang perancangan Kerajaan Negeri Kelantan ini untuk merealisasikan penggunaan dinar-dirham di peringkat negeri Kelantan.
Saya secara peribadi mendoakan semoga segala usaha beliau dan Kerajaan Negeri Kelantan dipermudahkan oleh Allah swt .
Antara yang menarik juga adalah satu pembentangan kes studi dari Negara Indonesia.
Dimana penggunaan dinar-dirham ini telah berjaya dilaksanakan walau tidak 100% di dalam satu organisasi NGO di Indonesia.Saya juga berasa kagum dengan usaha Muslim di negara jiran kita yang ada kalanya nampak lebih terkehadapan dari kita di sini.
Walaupun saya ingin mendengar pembentangan kertas kerja Prof Umar Ibrahim Vadillo yang bertajuk "The strategy of the Gold Economy" namun saya terpaksa melepaskannya kerana kekangan masa.
Prof Umar ini juga adalah salah seorang penggerak kuat Dinar Emas Kelantan dan saya percaya juga menjadi penasihat kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk merangka penggunaan dinar-dirham di peringkat negeri Kelantan.
Semoga Allah memudahkan urusan mereka.Amin.
Banyak yang saya belajar.....
Banyak ilmu yang saya dapat...
Banyak perkara yang saya fikirkan...
Dan banyak perkara pula yang harus kita lakukan bersama .... demi kelangsungan ekonomi dan muamalah ummah.
Justeru saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada semua kaum Muslimin, agar dapat sama-sama kita meningkatkan ilmu di dalam hal ini.
Bacalah di internet atau di buku.
Mulalah menyimpan dinar emas ini dan bagi siapa yang pandai membuat pelaburan emas mungkin boleh mencubanya.
Tapi yang paling penting.....dapatkanlah sebanyak mana ilmu dan tinggalkan riba' sedaya yang boleh.
Dan sama-samalah kita berdoa, sekiranya kita tidak dapat merasa melakukan transaksi menggunakan dinar-dirham di waktu ini, harapnya anak-cucu kita kelak akan dapat menikmatinya kerana usaha yang kita lakukan sekarang.
Yang pasti saya berazam untuk menggunakan dinar ini sebagai mas kahwin untuk anak-anak dara saya nanti, Insya Allah.
"Seeru 'ala barakatillah.."
Allahu'alam
Ummuzulfa
3 September 2009
1 comment:
terima kasih atas perkongsian. saya sering juga baca isu wang fiat vs dinar/dirham dalam blog sdr hasbullah di:
http://hasbullah.pit.my
setakat ni saya ada juga beli gold coins sikit-sikit sebagai simpanan.
Post a Comment