Monday, March 23, 2009

SEJARAH MELAKA - LAWATAN SEMULA (REVISITED)



"Cuti sekolah nanti kita pergi bercuti tau" saya membuka rahsia.

"Yey, yey, cuti kat mana ummi" anak-anak berteriak gembira

"Melaka....nanti kemas baju sendiri tau"arahan terus dikeluarkan.


Sudah berbelas tahun saya tidak melawat Melaka.
Rasanya paling akhir pun masa sekolah-sekolah dulu.

Jarang sekali berkunjung untuk berziarah ke Melaka kerana tiada saudara rapat di sana.

Justeru, cuti sekolah singkat ini, kami mengambil kesempatan untuk berkunjung ke negeri paling bersejarah di Malaysia.

Dengan bajet yang sederhana, kami memilih untuk tinggal di hotel 3 bintang sahaja.
Memandangkan bilangan kami yang bukan sedikit, saya memilih executive suite dengan 2 bilik di King's Hotel, terletak bertentangan dengan hospital swasta Pantai Medical Centre, Ayer Keroh.

Bukan kerja yang mudah untuk pergi bercuti dengan 5 orang anak pelbagai umur dan tidak berapa matang lagi.

Beg-beg pakaian pula - mengalahkan orang yang yang akan berpindah ke luar negara.
Maklumlah, ramai perempuan...:D


Melaka sudah banyak berubah.Pembangunan nampak sangat ketara di sepanjang jalan dari Ayer Keroh sampailah ke Bandaraya Melaka Bersejarah.

Walau negerinya kecil namun, pembangunan nampak lebih teratur dan tersusun dibandingkan dengan Negeri Sembilan (pendapat peribadi).

Hari pertama, kami sempat berkunjung ke Zoo selepas mengunjungi Jusco Ayer Keroh untuk membeli kasut Fairuz dan Zulfa.



Kami menaiki tren yang disediakan tetapi berbayar.Saya lebih menggemari dengan perkhidmatan tren di Zoo Negara yang percuma dan ada tren disiapkan dengan sukarelawan yang akan menceritakan tentang haiwan-haiwan yang boleh didapati di dalam Zoo Negara.


Hari kedua dan ketiga kami berjalan sakan di Bandaraya Melaka.

Menyusuri Sungai Melaka yang masih lagi dibaik pulih. Dapatlah juga kami menikmati pemandangan kampung Melayu terakhir di bandar ini yang terletak di pinggir sungai.






Tidak sah rasanya untuk ke Bandar Melaka Bersejarah tanpa pergi ke pelbagai jenis muzium yang disediakan untuk pelancong.
Kami hanya mampu untuk melawat 2 muzium - Muzium Samudera dan Muzium Kesultanan Melaka.

Anak-anak pun sangat teruja melihat banyak replika kapal dan patung-patung yang menggambarkan adat istiadat sultan-sultan terdahulu.




Namun saya sedikit terkilan kerana berlakunya pembaziran plastik beg yang diberikan kepada pelancong yang berkunjung di kedua-dua muzium ini untuk menyimpan kasut mereka semasa lawatan ke dalam muzium.

Walaupun saya menghargai niat mereka untuk menjaga kebersihan muzium, namun susah untuk saya menjustifikasikan penggunaan plastik beg itu kepada ribuan pelancong yang datang berkunjung ke situ.

Saya berharap Kerajaan negeri Melaka dapat memikirkan alternatif kepada beg plastik itu.

2 kali kami dapat melihat pemandangan Melaka dari atas udara kerana kami berpeluang untuk 'memanjat' menara Tamingsari dan menjadi penumpang berbayar kepada gondola Eye on Malaysia.











Gayat.....

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk menaiki beca mengelilingi Bandar Melaka itu.Bukan apa, cuma mahu memberi pengalaman berbeza untuk anak-anak.





Saya membuat permintaan kepada suami untuk singgah di Masjid Al-Azim di Bandar Melaka.
"tempat lain kita pergi, takkan masjid kita tak nak tunjukkan pada anak-anak" saya menyatakan rasional saya.

Masjid Selat Melaka juga menerima kunjungan kami sekeluarga.




Masjid yang mengadap Selat Melaka ini sangat nyaman dan menyegarkan.Manakan tidak, dibuai oleh angin laut yang segar...rasa macam nak terlelap pun ada.

Sayangnya, tiada penempatan di sekitar Masjid ini yang terletak agak jauh dari tengah Bandar Melaka.Jadi jemaah masjidnya adalah dari kalangan pelancong-pelancong yang berkunjung ke Bandar Melaka.

Mungkin inilah konsep Masjid Pelancongan agaknya.


Tidak sempat kami untuk berkunjung ke serata Melaka di dalam masa yang singkat itu.
Hasrat saya untuk makan ikan bakar di Umbai juga tidak kesampaian.

Namun di celah-celah keterbatasan masa itu, sempat juga kami menikmati persembahan Muadz sempena Minggu Penghayatan Palestin di Multimedia Universiti.
Anak-anak saya memang salah seorang peminat Muadz.





Walau negerinya kecil, namun Melaka wajar untuk dilawati.
Dapatlah juga kami menerangkan kepada anak-anak sedikit sebanyak tentang sejarah Kesultanan Melaka dan bagaimana Melaka dahulu dikenali di seluruh dunia kerana aktiviti perdagangannya.



Saya sangat menghargai masa yang dihabiskan dengan keluarga.
Walau cabaran melancong dengan anak-anak yang kecil tidak boleh dipandang ringan (yang menangis, yang lapar, yang mengantok.....dan macam-macam lagilah), namun ia sangat bermakna.

Harapan saya biarlah ia menjadi kenangan untuk kami sekeluarga selamanya.


Allahu'alam



Ummuzulfa
24 Mac 2009

1 comment:

E`n1x said...

i love the colors of your purple rs. what brand is that?
i also love ur maruyama vatanai.
byk jugak baby carriers u own, lol =D

Free Counters
Petco Promotion Code