Friday, March 27, 2009

BERGELAP SEKETIKA UNTUK ANAK CUCU




" Hari Sabtu ni kita tutup lampu ye...dari pukul 8.30 sampai 9.30 malam" saya membuat pengumuman.

"Kenapa pulak ummi?" minda anak-anak mula ingin tahu.

"Nak selamatkan bumi"

"Macam mana pulak bergelap tu boleh tolong selamatkan bumi' soalan susulan yang baik dari anak-anak saya.


Dunia semakin hari semakin panas.
Cuaca dunia semakin tidak menentu.

Saintis semakin risau, manusia prihatin hampir panik.

Namun adakah kita sedar apa yang berlaku sebenarnya.

Di mana-mana semakin banyak iklan yang mengajak masyarakat untuk bergelap selama sejam untuk memberi undi kepada dunia.

Kempen "60 earth hour, vote for earth" boleh dilihat di mana-mana media massa terkini.
Saya juga terpanggil untuk turut serta.





Namun sebagai ibu, saya juga ingin mengambil peluang ini untuk memberi kesedaran kepada anak-anak.Bukankah minda anak-anak yang suci ini senang untuk menerima ilmu.

Justeru, satu sesi tazkirah selepas mengaji telah saya aturkan untuk anak-anak.
Setelah habis mengaji dengan anak-anak dan sementara menunggu waktu Isya', saya mula bercerita tentang atmosfera bumi, kesan rumah hijau, pemanasan global dan usaha-usaha kecil yang boleh dilakukan untuk memelihara bumi.

Saya sudah bersedia dengan bahan bacaan yang sesuai supaya saya bersedia untuk menceritakan fakta itu kepada anak-anak.

Terima kasih kepada sahabat MBW, Shida yang sudi memberi link-link yang sangat berguna untuk mengisi tazkirah saya.
Saya harus bersedia kerana sudah pasti ada soalan-soalan yang mengasak minda dari anak-anak kecil zaman sekarang ini.

Saya mulakan dengan memberi pengenalan tentang atmosfera bumi yang menjadi selimut dan pengawal kepanasan bumi kita.





Juga saya bercerita tentang kesan rumah hijau yang meningkatkan suhu bumi dan menyumbang kepada kepanasan global.

Kesan rumah hijau ini (greenhouse effect ) sebenarnya adalah kenaikan suhu bumi kerana setengah gas di atmosfera seperti gas karbon dioksida, nitrus oksida dan methane akan memerangkap haba dari matahari.Tanpa gas ini, haba di bumi akan terlepas ke ruang angkasa dan suhu bumi tidak akan meningkat.

Tapi nampaknya dengan meningkat pengeluaran gas-gas rumah hijau ini maka lebih banyak haba terperangkap di atmosfera dan suhu bumi meningkat dengan mendadak.

Pemanasan suhu bumi yang juga dikenali dengan pemanasan global ini akan mempengaruhi cuaca dunia dan berlakunya cuaca yang tidak menentu mutakhir ini.
Musim sejuk dan kemarau yang melampau adalah salah satu contohnya.

Dan yang paling merisaukan saintis adalah dengan pencairan glacier yang berlaku di kutub-kutub dunia dan meningkatnya paras air laut utama dunia.

Jadi negara-negara yang rendah mungkin tidak akan wujud lagi di masa hadapan.

"Macam mana gas-gas ini dihasilkan?" saya cuba mencuit minda anak-anak.

"entah.."cepat sahaja Fairuz menjawabnya.

"Bila kita guna TV, mesin basuh, komputer dan bila kita guna kereta" saya cuba mengambil contoh di sekeliling mereka.

"Bila kita guna elektrik, kita kena bakar minyak dan gas sebab nak dapatkan elektrik tu, bila kita bakar minyak tu, kita keluarkan gas-gas tadi tu.." saya cuba sedaya upaya untuk menerangkan prinsip sains itu semudah yang mungkin.

"Sebab itu, kita tidak boleh membazir elektrik, bila takde dalam bilik, kena tutup lampu, bila keluar bilik air, kena tutup lampu dan bila takde orang tengok TV, kena tutup" saya 'mencucuk jarum" agar mereka tahu pembaziran itu membawa keburukan kepada bumi kita.

"satu lagi, kita tak boleh buang banyak sampah, sebab sampah yang banyak boleh keluarkan gas methane. sama macam gas karbon dioksida tu, akan menyebabkan bumi kita panas".





"kertas-kertas pun tak boleh membazir, nanti banyak pokok kena tebang sebab nak buat kertas, bila pokok banyak dah takde, apa akan jadi?, pokok keluarkan gas apa?" saya cuba mengajukan soalan.

"gas oksigen , kalau takde pokok, tak adalah gas oksigen dan manusia tak boleh bernafas" sedikit sebanyak kakak boleh menjawab soalan saya tadi.




"sebab itu ummi tak pakaikan adik pampers, ummi pakai lampin supaya sampah takdelah banyak sangat"

"lepas ni, apa yang kakak dan nurul boleh buat?" saya bertanya.

"entah..."

"kat sekolah , boleh beritahu kat kawan-kawan, kat cikgu" saya menyarankan konsep berkongsi maklumat.

Saya berusaha semampu mungkin untuk menjadi seorang yang prihatin terhadap keperluan alam sekitar.
Dan saya juga mahu anak-anak saya turut sama menghargainya.

"nanti kalau kita tak jaga bumi kita sekarang, nanti masa kakak dan nurul dah besar, bumi makin panas dan cuaca bumi jadi tak tentu" saya mengingatkan mereka.

Benarlah kata-kata orang bijak pandai " we don't inherit the earth from our ancestors but merely borrowed it from our children".

Justeru, marilah kita berusaha untuk lebih menghargai bumi kita.
Mungkin bergelap selama satu jam tidak mencukupi namun memadai untuk kita memulakan langkah awal untuk memupuk kesedaran dan keprihatinan kepada orang-orang di sekeliling kita.

Menjaga bumi adalah tanggungjawab kita.

Islam yang menjadi rahmat sekalian alam ini sepatutnya menjadi motivasi terbesar bagi kita, Muslim untuk menjadi juara di dalam isu ini.


Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah
kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah
engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari
dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana
Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah)
dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi;
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.

Al-Qasas :77

Dan keluarga adalah ruang lingkup terbaik untuk kita memupuk kprihatinan berkaitan dengan alam sekitar.

Masa itu juga boleh kita ambil untuk lebih meningkatkan hubungan kita dengan anak-anak dengan membuat sessi bercerita atau melihat bintang-bintang di langit.
Secara tidak langsung, kebesaran Allah boleh ditekan.


Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.



Ayuh.....undilah untuk bumi kita.

KITA MAMPU MENGUBAHNYA







Allahu'alam




Ummuzulfa
27 Mac 200

3 comments:

abdul muaz said...

tahniah,akak seorang ibu yang berjaya

Ummuzulfa said...

abdul muaz..

terima kasih kerana singgah...

Akak pun masih belajar untuk menjadi seorang ibu yang berjaya

UmmNabil said...

kami pun bergelap sejam .. tapi bilik nenek buka lampu :-) .. tak aci betul sebab nenek pening bergelap
suka pulak budak2 ni dok dlm gelap ..

Free Counters
Petco Promotion Code