Jadual waktu persidangan saya memang padat, bermula pada pukul 9 pagi berlanjutan hingga ke 5 atau 530 petang.
Memandangkan waktu malam tiba agak cepat berbanding di Malaysia, agak sukar kami mencari masa untuk berjalan-jalan sekitar Sydney.Yalah, namanya pun pergi persidangan bukannya melancong.
Namun, untuk sampai ke Australia ini, tidak mudah. Kalau bukan pihak majikan yang tanggung, maka kemungkinan besar tidak sampailah saya ke bumi habitat kanggaro ini.
Selalu saya menyebutnya, 'kalau jual kereta kancil saya pun, masih lagi tak mampu untuk saya sampai ke Sydney".
Justeru, kami mencuri masa di celah-celah kesibukan persidangan itu untuk keluar bersiar-siar sekitar Sydney.
Jika ada tajuk-tajuk perbincangan yang tidak menarik, kami akan menyiapkan diri kami untuk menjadi pelancong amatur, meneroka keunikan negara Australia.
Di Sydney, ada sekurang-kurangnya 2 perkhidmatan bas yang akan melalui tempat-tempat menarik sekitar Sydney, dikenali sebagai Sydney explorer dan Bondi Explorer.
Bas ini boleh dinaiki di mana-mana stesen yang telah ditetapkan di tempat-tempat menarik sekitar Sydney dan bas akan tiba setiap 20-30 minit.
Dengan membayar AUD39, tiket itu boleh dipakai sepanjang hari sehingga ke perkhidmatan bas Sydney explorer terakhir sekitar jam 515 petang dan seterusnya boleh diguna pakai untuk perkhidmatan bas biasa sehingga ke 12 tengah malam . Sepanjang perjalanan, penumpang akan didengarkan dengan kisah-kisah sejarah sesuatu tempat yang dilalui.Penumpang boleh turun di mana-mana stesen yang dirasakan menarik untuk berkunjung atau mengambil gambar dan boleh menaiki bas Sydney explorer yang lain selepas 20 minit.
Bondi explorer juga menggunakan konsep yang sama, cuma routenya agak berbeza, dimana ia akan melalui kawasan pantai. Di salah satu stesen, bas Bondi explorer akan 'intersect' dengan Sydney explorer di mana penumpang boleh menukar untuk menaiki mana-mana bas dengan menggunakan tiket yang sama.
Saya merasakan ia satu konsep yang menarik dan 'mesra pelancong'. Kisah sejarah yang diperdengarkan kepada pelancong juga sangat informative.
Sejarah dengan jelas telah mengetahui bahawa mat salleh di Australia ini berasal dari keturunan orang Eropah yang telah dibuang negara kerana pelbagai kesalahan jenayah.
Kiranya keturunan 'ex-convict' lah - teringat saya Pulau Jerjak.
Namun sekarang, keturunan itu juga yang berjaya mengangkat nama Australia di mata dunia.
Di dalam dunia perubatan, nama Australia boleh dikatakan setaraf dengan UK dan negara Eropah yang lain.
Terkadang saya terfikir, kalau mereka bangsa yang boleh dikatakan 'merempat' boleh bangkit dan menguasai dunia, kenapa pula bangsa Melayu yang dikaitkan dengan bangsa pahlawan (baca Hang Tuah) masih sukar untuk setanding dengan bangsa lain, di tanah tumpah darah sendiri , apatah lagi di mata dunia? Allahu'alam
Tidak banyak tempat yang kami boleh melawat dengan teliti kerana masa yang agak suntuk. Opera House itu juga kami hanya sempat mengambil gambar dari jauh, begitu juga dengan beberapa tempat menarik yang lain.
Kalau ikutkan hati, memang tidak puas, tetapi jauh di sudut hati saya mengetahui tujuan asal kedatangan saya ke sini dan amanah yang sepatutnya dipikul.
Antara perkara yang boleh diperhati di Sydney ini, ialah tidak banyak bangunan yang 'high rise' kerana ia cuba untuk memelihara bangunan-bangunan lama yang dibina semenjak kedatangan nenek moyang mereka ribuan tahun dahulu.
Banyak tempat penempatan awal bangsa Eropah telah ditukar menjadi rumah peranginan atau restoran yang masih mengekalkan ciri-ciri lama bangunan tersebut.
Secara amnya, bandar Sydney adalah sebuah bandar yang bersih walaupun kesesakan jalanraya tidak jauh beza dengan Kuala Lumpur.
Makanan halal agak mudah dicari di Sydney kerana agak ramai juga Muslim dari Turki dan Lebanon yang tinggal di situ dan menjalankan perniagaan makanan.
Namun kami jarang makan di luar kerana kemudahan memasak yang telah disediakan di bilik apartment menyebabkan kami lebih suka makan di rumah dari di luar.
Cuma ada beberapa occasions di mana kami makan di luar kerana dibelanja oleh mereka yang baik hati.
Pada salah satu malam, ada syarikat yang bermurah hati untuk belanja pelanggan mereka dari Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk makan di salah satu restoran makanan laut yang mengadap ke arah laut di Darling Habour.
Kami, delegasi dari Malaysia telah duduk satu meja, ramai juga kerana ada yang datang menghadiri persidangan menggunakan duit sendiri.
Maka, kami pun berhati-hati memilih makanan supaya tidak terkena yang tidak boleh dimakan. Kebanyakan kami memilih makanan laut.
Maklum sahajalah, bila dah ada orang belanja, maka ada antara kami yang order makanan yang agak tidak mampu milik jika kami berbelanja sendiri.
Ada hidangan sea-food itu yang mencecah 3 tingkat dan puas juga di'pass'kan ke hujung meja untuk menghabiskannya.
Harganya , jangan tanyalah, mencecah ratusan AUD.
Melihat sahaja hidangan tersebut menyebabkan mata saya hampir 'juling' :D
Bila masa untuk pencuci mulut, ada antara kawan yang telah tempah giant aiskrim.
Saya tidak menempah apa-apa kerana 'perut stokin' saya sudah tidak boleh di'stretch' lagi
Walaubagaimana pun, saya amat menghargai masa makan kami itu kerana ia dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim kami.
Walaupun semua kami di dalam bidang yang sama, tetapi kerana bekerja di tempat yang berasingan, kami jarang dapat bertemu dan bertukar-tukar pendapat.
Selalunya kami hanya bertemu bila di program-program akademik seperti persidangan dan seminar sahaja.
Dengan pertemuan santai seperti itu, kami dapat berbual-bual dengan lebih selesa tanpa tertekan dengan kekangan masa.
Al-maklumlah, kebanyakan yang terlibat di dalam bidang ini di Malaysia adalah kaum Hawa maka banyaklah yang kami boleh bualkan, orang putih kata 'everything under the sun"
Kami pulang sudah agak lewat, walaupun hanya baru pukul 10 malam.
Syarikat Jepun yang menaja makan malam kami itu, nampak sungguh teruja dan berterima kasih dengan kehadiran kami.
Saya dapat rasakan generasi baru dan muda dari negara matahari terbit itu, ramai yang sudah mahir berbahasa Inggeris jika ingin dibandingkan dengan generasi awal, jadi komunikasi kami dapat dijalankan dengan baik.
Berakhir satu lagi kisah kami di Sydney.
Insya Allah, jika berkelapangan , mungkin akan ada susulannya...
Ummuzulfa
26 Mei 2008
Friday, May 23, 2008
BERTAMU DI NEGARA KANGGARO - (2)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
terima kasih daun keladi jua atas kiriman "souvenir" dari bumi Kangaroo.. :-)
-naylah
Post a Comment