Monday, June 9, 2008

BUDAK PINTAR DAN CITA-CITANYA

Memang sukar untuk mula menulis semula selepas lama bercuti.

Bercuti untuk melayan anak-anak dan menghabiskan masa bersantai.

Entah kenapa saya dilanda 'sindrom kemalasan melampau' yang tidak dapat saya justifikasikan sepanjang masa saya bercuti.

Semoga Allah menyelamatkan saya dari terus diserang oleh sindrom tersebut.

Justeru, banyak masa saya habiskan di depan TV. Dengan ketiadaan Astro dan tiada ariel yang tinggi, hanya TV3 (?suku :D gurau je) yang menjadi teman kami sepanjang masa kerana siaran TV percuma lain hanya 'hujan lebat' yang menghiasi skrinnya.

Kebetulan, di satu tengahari,TV3 menghidangkan siaran Wanita Hari Ini dengan topik berkaitan keibubapan, dengan fokus mengenali dan mengendali anak yang pintar cerdas.




Salah seorang tetamunya adalah seorang ibu berbangsa Tionghua dengan anaknya yang berumur 7 tahun yang dikatakan pintar.

Saya tidak pasti apakah kepintaran adik itu. Tidak dinyatakan secara khusus apakah kepandaiannya berkaitan dengan bidang matematik seperti Adi Putra atau di bidang seni lukis atau linguistik.

Tetapi beliau sangat 'low profile' dan merendah diri.

Bila pengacara menanyakan apakah perasaannya menjadi seorang yang istimewa, beliau menjawab , dia tidak suka orang mengatakan dia adalah istimewa dan dia suka bergaul dengan orang lain macam biasa.

Anak itu nampaknya telah diasuh dengan baik oleh ibunya.

Tetapi yang paling menarik hati saya apabila pengacara bertanya tentang cita-citanya apabila dewasa kelak.

Jawabannya adalah di luar jangkaan saya.

Beliau ingin menjadi seorang petani yang berbakti kepada alam sekitar dan juga tidak mahu menggunakan plastik beg kerana ia tidak mesra kepada alam sekitar.

Jawaban yang mengejutkan saya dan saya pasti ramai lagi di luar sana yang mungkin tidak menyangka seorang budak pintar cerdas sepertinya mempunyai cita-cita semurni itu.

Selama saya hidup, hampir tiada kanak-kanak yang memberikan jawaban tidak skema seperti itu. Biasanya kita akan dihidangkan dengan jawaban-jawaban klasik seperti (pada zaman saya kecil-kecil dulu dulu)

"saya nak jadi doktor'
"saya suka nak jadi cikgu"
"saya nak jadi askar"


Mungkin pada zaman sekarang mungkin ada kanak-kanak nak menjadi Mawi, peserta Tom-tom bak atau pelakon.
Anak sulung saya pernah sekali memberi jawaban ingin menjadi petrol -pump girl kerana nampak seronok dapat banyak duit.

Tetapi menjadi petani????




Yang pasti anak kecil itu telah diasuh sayangkan alam sekitar sedari kecil lagi dan mungkin dengan kesedaran itu beliau memilih untuk menjadi petani yang menggunakan kaedah organik pastinya.

Saya terfikir sendiri.

Pernahkah saya semaikan semangat sayangkan alam sekitar saya kepada anak-anak saya yang semakin membesar?

Adakah saya menunjukkan contoh terbaik saya kepada anak- anak untuk menjadi seorang yang peka terhadap keperluan alam sekitar yang semakin mendesak?

Adakah saya cukup menekankan bahawa Islam itu sangat mementingkan kesejahteraan alam sekitar?

Jawaban anak kecil itu seperti satu renjisan air di muka saya, yang menyedarkan saya tentang perlunya saya membuat sesuatu.

Walaupun saya pergi membelah-belah dengan menggunakan beg saya sendiri dan cuba sedaya upaya untuk tidak menggunakan beg plastik yang dibekalkan oleh pihak penjual, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk kebaikan alam sekitar kita.

Kalau ramai kanak-kanak yang mempunyai niat murni seperti adik kecil tadi, maka kita mungkin tidak akan mengalami masalah pemanasan global yang menyumbang kepada ketidak tentuan cuaca dunia dan peningkatan harga-harga komoditi.

Saya rasa kita semua patut berbuat sesuatu.....


Allahu'alam

Ummuzulfa
10 Jun 2008

No comments:

Free Counters
Petco Promotion Code