Saturday, May 30, 2009

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA - setulus cinta bapa






"Yang membentuk mereka semuanya termasuk saya adalah bapa mereka, saya hanya pelaksana sahaja.Ibarat membina bangunan, suami saya yang membina kerangkanya, lalu saya mengisinya."

Saya sangat teruja bila melihat buku ini dijual di Pesta Buku April lalu.

Sukar untuk mencari buku keibubapaan yang membicarakan peranan seorang bapa secara spefisik, terutama bagi seorang pendakwah Islam yang sentiasa diburu masa.

Seringkali juga kita didoktrinkan dengan ungkapan "tugas perempuan ni, dua je yang penting...layan suami dan didik anak-anak"

Mungkin sebab falsafah inilah, para bapa agak terlepas pandang tentang pentingnya mereka di dalam kerangka pendidikan anak-anak.

Yang penting, kerja dan cukupkan duit dan keperluan keluarga...mungkin itu adalah antara kenyataan yang disimpulkan.






Saya sering bertanya kepada diri sendiri, bagaimana agaknya para ulama' dan pejuang memberi pendidikan kepada anak-anak mereka.

Serabut juga kadang-kadang saya memikirkan bagaimanakah para bapa yang sibuk dengan kerja-kerja jamaah, sosial dan kemasyarakan di luar rumah dapat memberi sentuhan pendidikan kepada anak-anak yang sering ditinggalkan di rumah bersama dengan ibu mereka.

Justeru, saya tidak berfikir panjang untuk menjadikan buku ini sebagai salah satu koleksi buku saya,dengan harapan sedikit sebanyak saya mendapat jawaban di atas segala persoalan tersebut.

Dan saya sangat tertarik dengan kata-kata yang diungkapkan oleh pengantar kepada buku ini, seorang isteri kepada seorang ulama' di tanah seberang.

Ya, kejayaan anak-anaknya menghafal Al-Quran adalah hasil kerangka pendidikan suaminya dan dia hanya sebagai pelaksana sahaja.

Sungguh terkesan di hati saya bila membacanya.

Dra Hjh Wirianingsih sebagai pengantar buku ini juga menimbulkan persoalan bagaimanakah pandangan Islam melihat peranan ayah di dalam keluarga.

Di mana sebahagian besar masyarakat cenderung untuk meletakkan asuhan dan didikan anak adalah tugas ibu semata-mata, persoalan besar ini patut dibuat kajian dan dipersembahkan kepada masyarakat umum.

Ibu Wirianingsih juga menukilkan, bahkan di dalam Al-Quran tidak ada satupun dialog antara anak dan orang tua mewakili ibu, yang ada hanya dialog anak dengan ayahnya.

Saya terfikir sendiri, sememangnya apa yang diungkapkan oleh beliau memang benar, dialog antara ibu dan anak, hatta di dalam kisah Nabi Ismail yang ditinggalkan bersama ibunya di tanah haram tidak dirakam di dalam Al-Quran.

Yang ada, dialog antara Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail, juga antara Luqman dengan anaknya.

Tidak dapat dinafikan peranan bapa adalah sangat kritikal di dalam pendidikan anak-anak.

Justeru, saya sangat menghargai usaha penulis buku ini yang mengambil usaha untuk sedikit sebanyak mencoret kisah Imam yang menjadi rujukan para pejuang Islam kini.



Pastinya kesempurnaan hanya pada kisah Rasulullah, namun dengan mengambil contoh Imam Hassan Al-Banna yang menjadi contoh zahir zaman ini, diharapkan dapat sedikit sebanyak mengisi vakum di dalam topik ini.

Buku kecil dengan 75 helaian mukasurat ini ditulis oleh penulis dari tanah seberang, M Lili Nur Aulia dan diterbitkan dalam versi Malaysia pada tahun 2008.

Ia adalah kumpulan cerita-cerita berkenaan peranan Hassan Al-Banna sebagai bapa kepada 6 anaknya, 5 adalah perempuan.

Kenangan-kenangan itu dikumpulkan dari nukilan anak-anak beliau yang sempat merasa 'air tangan' didikan beliau.

Banyak yang diceritakan oleh anak-anak Imam Hassan Al-Banna berkaitan dengan perilaku bapa mereka.

Bagaimana beliau menjadikan makan bersama sebagai keutamaan, keprihatinannya tentang keperluan anak-anak untuk ke sekolah,keperluan rumah yang sering diambil berat, sehinggalah bagaimana ia menasihatkan anak-anaknya.

Banyak yang diceritakan, yang kebanyakan darinya yang saya tidak sangka boleh dilakukan oleh seorang bapa merangkap pejuang yang maha sibuk seperti beliau.

Imam Hassan Al-Banna diceritakan memberi perhatian yang menyeluruh kepada anak-anaknya, sering makan bersama dengan keluarga meskipun ketika ada tetamu yang diusahakan supaya datang ke rumah agar beliau boleh menghabiskan masa di rumah.



Beliau juga diceritakan tidak membawa sebarang tekanan aktiviti di luar rumah ke dalam rumah dan melepaskan marah atau geramnya kepada keluarga.
Beliau berusaha untuk mencontohi Rasulullah.

Imam Hassan Al-Banna juga sangat mementingkan pendidikan anak-anaknya.
Memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang bersesuaian walaupun kebanyakan anaknya adalah perempuan.



Beliau memerhatikan pelajaran anak-anaknya dan mengaji bersama-sama.

Beliau tidak ketinggalan untuk memantau perkembangan anak-anaknya dan berhubung rapat dengan guru sekolah mereka

Beliau tidak kedekut untuk membelikan bahan bacaan untuk mereka.



Antara yang menarik adalah cara beliau menangani kecenderungan anak lelaki sulungnya bila sampai ke tahap menggemari bahan bacaan komik.

Imam Hassan Al-Banna juga tidak terlepas dari menghukum anak-anaknya namun hukuman yang paling berat adalah dengan menarik telinga dan memukul tapak kaki dengan kertas sahaja.

Selebihnya beliau banyak berdialog dan berdiskusi dengan anak-anaknya.

Antara perkara menarik yang dikongsikan oleh anak-anaknya adalah bagaimana beliau telah melakukan perancangan yang baik untuk anak-anaknya, malah segala butiran penting dicatat di dalam satu carta yang lengkap.

Carta itu mengandungi tarikh dan sejarah kelahiran, nombor kelahiran, jadual ubat, surat doktor, ijazah , catatan prestasi sekolah dan lain-lain.




Ya, beliau telah cuba sedaya upaya di celah-celah kesibukan beliau berdakwah kepada masyarakat untuk memerhatikan anak-anaknya.

Itulah sedikit sebanyak kisah yang dikongsikan oleh anak-anak beliau.

Saya merasakan masih banyak lagi yang boleh 'dikorek' dari kisah Imam ini.

Usianya yang masih muda semasa beliau meninggal dunia membataskan masa dengan anak-anak beliau, namun mungkin ada yang boleh didapati dari sahabat ikhwan yang lain.

Kisahnya boleh menjadi menjadi pengiktibaran kepada para pejuang masa sekarang.
Agar kesibukan berbakti kepada masyarakat tidak mengorbankan perhatian dan pendidikan mereka kepada anak-anak dan keluarga.

Semoga buku ini menjadi pelengkap kepada puluhan buku-buku keibu-bapaan yang saban kali membincangkan peranan ibu secara khusus, tanpa penekanan yang sewajarnya kepada peranan bapa yang sebenarnya lebih besar dan berat.

Seperti mana kata Ibu Hjh Wirianingsih, sepatutnya tidak ada pemisahan antara keluarga dan dakwah dan sekaligus menjawap pertanyaan ,"mana yang lebih penting, dakwah untuk umat ataupun membina keluarga?"

Katanya lagi, jika dia (pendakwah) seorang ayah, maka isteri dan anak-anaknyalah yang akan merasakan sentuhan pertama, begitu juga seorang ibu.

Saya merasa bertuah dapat membaca buku ini.

Kepada para bapa pejuang di luar sana, luangkanlah sedikit masa untuk mengamati kisah ini.Mana tahu ia boleh membantu dalam mencari keseimbangan hidup.

Kepada para ibu jua, jadikanlah buku ini sebagai panduan untuk mendidik anak-anak lelaki kelak, untuk menjadi seorang pendakwah sekaligus bapa yang baik.


Semoga Allah memberikan kemudahan untuk kita semua dalam mendidik anak-anak di zaman serba mencabar ini.

Allahu'alam.


Ummuzulfa
2 Jun 2009


2 comments:

Naylah said...

akak,
boleh pinjam buku ni tak?

Ummuzulfa said...

boleh, no problem

Free Counters
Petco Promotion Code