Monday, May 25, 2009

KRISIS EKONOMI : BERBELANJALAH





"Ribuan pekerja akan kehilangan kerja bila operasi kilang akan dihentikan"

"CEO sebuah syarikat automobil membuat pengumuman akan menutup sebahagian kilang mereka"


Itu adalah antara berita yang biasa kita dengar mutakhir ini.

Kisah pekerja yang dibuang kerja.
Kisah pekerja yang dipaksa untuk VSS.
Kisah pekerja yang dikurangkan waktu bekerja.

Itu belum lagi kisah-kisah jenayah yang boleh dikaitkan dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin merudum.

Juga kisah-kisah rumah tangga dan keluarga yang berantakan kerana masalah kewangan yang meruncing.







Sebenarnya ramai dikalangan masyarakat kita memang terasa tempias krisis ekonomi semasa ini.
Ramai suami yang terpaksa bergantung nafkah kepada para isteri yang masih bekerja.
Ada juga suami isteri yang terpaksa menjual segala apa yang ada untuk meneruskan kehidupan.
Tidak kurang juga yang terpaksa melebarkan payung dan membuka meja dan bot kereta untuk berniaga.

Satu pengalaman yang berbeza bagi mereka.

Alhamdulillah, saya dan suami tidak banyak merasa keperitan ini.

Slip gaji masih berjalan seperti biasa.
Hutang dan liabiliti masih boleh dibayar mengikut waktu.
Sedikit ringgit masih berbaki setiap hujung bulan.

Alhamdulillah.

Saya pasti bagi kebanyakan penjawat awam, mereka tidak terlibat secara langsung dengan situasi pembuangan kerja ini.
Bukan seperti ramai rakan kita yang bekerja di sektor swasta.

Ada pengurus yang terpaksa membawa teksi.Terpaksa meninggalkan kerusi empuk dan bilik berhawa dingin.




Ada pegawai yang menjual nasi lemak di tepi jalan, menjadi bos kepada diri sendiri tanpa anak buah untuk diarah-arah.
Ada juga operator pengeluaran di kilang-kilang terpaksa meninggalkan tugas 'line' yang biasa , beralih arah kepada menjual burger di tepi rumah.

Justeru tidak hairan kebelakangan ini penjaja tepi jalan ini tumbuh seumpama cendawan selepas hujan.

Kehidupan perlu diteruskan.

Segan perlu dilupakan.

Duit dan wang perlu disediakan.

Jadi bagi kita yang masih mempunyai pekerjaan, apa yang kita boleh lakukan untuk membantu?

Mungkin sukar untuk kita memberi bantuan kewangan secara berterusan kepada rakan-rakan.
Yalah, dengan tanggungan yang semakin berat, bukan semua orang boleh memberi bantuan duit.

Dan saya merasakan bahawa rakan-rakan kita yang dibuang kerja juga segan untuk menerima bantuan duit saban bulan.
Mereka bukan peminta sedekah.

Justeru, saya cuba sedaya mungkin untuk membantu dengan membeli barangan jualan mereka.

"ummi, nak air jambu tu"

"Bang, nanti tolong belikan roti john "

"ayah, boleh kirim nasi lemak?"

Saya selalunya tidak menghampakan permintaan anak-anak untuk membeli jualan di tepi jalan asalkan ada justifikasi yang sewajarnya dan barangan yang dijual terjaga kebersihan dan kualitinya.

Saya rasa itu adalah usaha kecil saya untuk membantu mereka yang berniaga.

Teori ekonomi juga ada mengatakan bahawa berbelanja dapat menjana ekonomi.
Selagi mana berbelanja di dalam lingkungan yang munasabah, saya rasa kita sebenarnya dapat membantu ekonomi.

Walaupun tidak dinafikan, barangan mereka mungkin agak mahal dari harga-harga di pasaraya-pasaraya besar namun setakat lebih beberapa puluh sen dari biasa tidak akan meninggalkan kesan negatif kepada dompet kita.



Niatlah sebagai sedekah.

Saya selalu terfikir, kalau dengan penjimatan yang beberapa sen itu, tidak menjadikan saya jutawan pun.

Apapun, biarlah munasabah dan bersederhana.

Dari sudut yang lain pula, pihak yang berniaga juga memainkan peranan yang penting untuk memajukan diri sendiri.
Pastikan kualiti barangan yang dijual terjaga sebaik mungkin.
Pastikan 'customer service' yang 'tip top'.
Muka yang manis dan budi yang tulus, insya allah boleh menambat hati pelanggan.
Buatlah sedikit kajian dan pembacaan sebelum memulakan sesuatu.

Dengan strategi yang betul dan usaha yang berterusan, saya pasti, ramai yang boleh menghadapi krisis global ini tanpa kesan yang teruk.

Di samping itu, berbelanjalah untuk bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

Bukan sedikit rumah anak yatim yang mungkin tidak termasuk di dalam senarai 'arus perdana' dan sering dilupakan.
Juga pusat-pusat khidmat untuk remaja bermasalah, saudara-saudara baru atau warga emas.

Bersedekah di waktu susah, menjanjikan ganjaran yang hebat dan kepuasan yang sukar diungkapkan, Insya allah.

Wang tidak kekal ditangan kita tapi amal-jariahlah yang berkekalan menemankan kita.



Ini pesan saya kepada diri sendiri.

Dan mungkin ada manafaat untuk mereka yang membacanya.

Berbelanjalah sewaktu krisis ekonomi.
Insya Allah ia menjadi jariah kita di masa hadapan.

Allahu'alam.


Ummuzulfa
25 Mei 2009

No comments:

Free Counters
Petco Promotion Code