Thursday, March 20, 2008

SALAHKAH KITA BERLAINAN WARNA? sebuah cerita di pekan terpencil

"Habislah orang Melayu, sekarang orang Cina telah menang" ada email yang memberitahu.

"Melayu selalu terlupa, menang sorak , kampung tergadai' satu lagi sms yang rancak diedarkan.

"Awas ! tanah orang Melayu akan tergadai, kaum Cina sedang mentertawakan kita" email itu memberitahu lagi.

"Berhati-hati peristiwa 13 May akan berulang" provokasi ekstrim mula dilaungkan.


Begitulah antara bunyi-bunyi kata-kata sumbang selepas berlakunya tsunami politik tanahair ku yang tercinta ini.

Tarikh 8 Mac 2008, telah membuktikan bahawa rakyatlah yang memilih ketua dan rakyatlah yang ketua sebenarnya.Bagi yang muslim, amat yakin dengan janji Allah bahawa KuasaNya jua kerajaan akan dijatuhkan dan pilihanNya jualah kerajaan baru akan dinaikkan.

Salahkah kita kerana dikurniakan suasana masyarakat yang sungguh berwarna-warni?


gambar hiasan









Salahkah kita kerana dilahirkan tidak serupa, kenapa aku sawo matang, yang lain melepak putihnya dan ada yang tidak berapa cerahnya?Salahkah kita kerana dilahirkan rambut lurus dengan mata sepet dan yang lain ikal mayang rambut dan bulat mata hitamnya?


Kenapa identiti bangsa itu yang sering digundahkan?

SEBUAH CERITA DI KAMPUNG TERPENCIL.
Teringat saya pengalaman sendiri.

Saya tinggal di kampung terpencil...sebenarnya tidak jauh dari bandar ibu negeri tetapi pengangkutan awam yang masih dibayangi kekalutan dan ketidakseragaman menjadikan kampung saya menjadi terpencil. Bas hanya lalu 2-3 jam sekali. Terpaksa pula melalui jalan berbukit-bukau sebelum sampai ke pekan 40 minit selepas melalui pengalaman pening-pening lalat.

Penduduk kampung hampir 95% Melayu, bekerja sendiri, menjadi cikgu dan berkerja kampung.

Harmoni.saling mengenali dan menghormati.Masih kekal sebagai kampung tradisi.
Keluarga saya tinggal di pekan, nadi ekonomi kecil di kampung-kampung sekelilingnya.Arwah abah satu-satunya peniaga runcit Melayu Muslim di pekan tersebut, 10 tahun lalu.Kami dibesarkan di dalam rumah kedai 2 bilik yang disewa.Depan kedai, di belakang adalah rumah kami, juga merangkap stor simpanan barang.


Peniaga yang lain adalah peniaga bangsa Cina, ada juga 1-2 peniaga Melayu yang berniaga kedai makan.Jika mengikut sifir logik akal, pastinya kedai kami adalah antara kedai yang paling maju di pekan itu. Manakan tidak pastinya Melayu akan menyokong Melayu, dan tidak mustahil arwah abah boleh menjadi jutawan senyap di pekan kami.Tapi apakan daya, bangsa kami ada membuat transaksi di kedai kami tetapi lebih banyak menggunakan cek kecil dengan jenama 555 dan pastinya ada berbaki untuk di bawa ke bulan hadapan.


gambar hiasan

Memang ironi bukan?Arwah abah sering berkata, 'kalau nak beli cash, mesti masuk kedai Cina tapi bila nak hutang, pandai pula cari kedai Melayu".

Ya, itu cerita lama,harap-harapnya cek berjenama 555 itu sudah lupus dari zaman moden ini.

Namun begitu, hubungan kejiranan kami dengan jiran Cina, berjalan dengan cukup sejahtera.Prejudis dan berburuk sangka satu perkara yang agak asing walaupun budaya dan agama yang berbeza. Kehidupan kami di pekan 'koboi' itu memang memberi kesan nostalgia yang berpanjangan.

Jiran rapat kami, merupakan sebuah keluarga Cina yang baik.Mereka pemborong getah mentah dari penoreh-penoreh getah di kampung kami.Walaupun seringkali kami diganggu dengan 'bau getah' yang tidak menyenangkan tetapi ia sedikit pun membengkakkan hati kami.

Sepasang suami isteri itu tinggal dengan 2 anak lelaki dan isteri mereka masing-masing, juga dengan 3 cucu mereka.Jadi, kawan pertama kami di kampung bukannya Abu, Aminah atau Ali tetapi Ah Chuan, Ah Chin dan juga Shu Kun.


Ketua keluarga mereka, digelar Ah Tuan tetapi kami senang dengan memanggilnya Atuk dan isterinya dipanggil Nenek .Kami memanggil ayah dan ibu Ah Chuan dengan panggilan Papa dan Mama.Mereka juga memanggil abah dan ibu dengan gelaran abah dan ibu. Jadi bertambahlah anak ibu saya dari 8 kepada 11 orang. Kami menjadi keluarga besar yang harmoni.

Mereka amat prihatin kepada kami. Sakit pening kami sering diambil peduli. Bukan sekali arwah abah terpaksa meminjam dari Atuk sekiranya kekurangan wang. Mereka amat percayakan kami. Mereka juga pelanggan tetap kami dan tidak mahu membeli dari kedai sebangsa dengan mereka.

"diaorang suka tipu timbang' terdengar juga mereka merungut.

Ah Chuan dan adik-adiknya juga membesar di kedai kami.Seringkali mereka akan melarikan diri dari kedai mereka untuk bermain dengan kami. Tengok TV bersama, makan bersama dan menolong melayan pelanggan di kedai kami.Mereka suka makan di rumah kami, kadang-kadang pakai tangan tetapi seringkali lebih gemar bersudu dan bergarfu.Seringkali mereka dimarahi oleh Mama bila mereka enggan makan di rumah mereka.

Manakan tidak, ibu sering memasak makanan yang enak. Mana boleh lawan masak lemak cili api ketam, ikan bawal goreng dan sup bebola ikan tenggiri buatan sendiri dengan masakan Mama yang hanya rebusan ikan bilis.

"mama tak pandai masak macam ibu" Ah Chuan pernah meluahkan.

Terkadang, Mama akan membeli ikan atau ketam dan akan meminta ibu memasak makanan kegemaran anak-anaknya. Memang kami seperti sebuah keluarga.

Ah Chuan, Ah Chin dan Shu Kun sangat memahami keadaan kami. Mereka tidak akan melintas depan kami jika kami sedang solat dan mengerti bahawa tikar solat tidak boleh dipijak dengan kaki yang kotor.

Bila Ah Chuan sudah bersekolah menengah, setiap kali ingin masuk, beliau akan tunggu di sebalik langsir pintu tengah sambil menunggu kami yang perempuan memakai tudung.

Sebagaimana Ah Chuan memahami budaya dan peraturan agama kami, begitu juga kami berlapang dada dengan budaya mereka yang gemar berseluar pendek dan membakar colok setiap hari.Walaubagaimana pun, ibu pernah menasihatkan Ah Chuan agar berseluar panjang bila ingin datang ke rumah dan beliau nampaknya tidak ada masalah dengan hal tersebut.

Pada satu ketika di mana arwah abah terpaksa berniaga di Pasar Ahad untuk menambah pendapatan, maka menjadi rutin mingguan kami untuk menolong abah di pekan sehari itu.Ah Chin paling bersemangat untuk mengikut bersama. Sebelum subuh lagi dia sudah mengetuk pintu rumah kami supaya tidak ketinggalan.Dan dengan dikelilingi barangan niaga dan atas hamparan plastik beliau juga akan sibuk melayan pelanggan sambil memanggil 'abah, yang ni berapa harga?".Rata-rata pelanggan akan terpinga-pinga dengan keadaan itu.Mungkin ada yang terfikir ; " siapa pulak budak Cina ni, ber abah pulak dengan Pak Haji ni"

Kadang-kadang jiran kami yang Melayu akan terkejut bila mendapati anak-anak Cina itu senang-senang masuk keluar kedai kami.Jiran yang Cina juga terkadang mengingatkan Mama agar berwaspada agar jangan anaknya nanti 'masuk Melayu"

Tetapi kami tetap rapat. Setiap sambutan Aidilfitri, ibu akan menyediakan beberapa buah bakul berisi juadah ketupat, kuah kacang dan lontong. Satu untuk rumah Mak Tam, satu untuk rumah Pak Lang dan satu lagi untuk rumah Ah Chuan.Mereka sangat gembira dengan keadaan itu. Setiap kali Sambutan Tahun Baru Cina pula, akan tibalah buah limau, kacang dan ang pau untuk kami sekeluarga.


Kami tidak berkongsi raya tetapi kami berkongsi rasa dan persefahaman dari sambutan perayaan masing-masing.


Kami tidak pernah diajar tentang prejudis terhadap jiran kami itu.Saya pasti arwah abah dan Atuk, Nenek, Papa dan Mama tidak mengerti tentang Dasar Ekonomi Baru atau yang sewaktu dengannya tetapi kami hidup dalam semangat toleransi yang tinggi.Kekurangan ditampung dan kesejahteraan dikongsi bersama.

Sekarang, sudah 10 tahun arwah abah meninggalkan kami, dan kami tidak meneruskan perniagaan lagi di kampung.Semua adik beradik telah tinggal di bandar berdekatan dan ada yang merantau. Tetapi hubungan kami masih diteruskan. Setiap kali balik ke kampung, kami cuba mencuri masa untuk menjenguk keluarga Mama.

Atuk dan Nenek masih hidup, cuma Nenek sahaja yang sering sakit tetapi masih dapat mengenali ibu.Atuk masih sihat dan aktif berniaga getah.Mama dan Papa sudah nampak dimakan usia tetapi masih mesra seperti dulu. Ah Chuan dan adik-adiknya sudah besar panjang.Kami berasa sangat gembira kerana Mama, Ah Chuan dan Shu Kun telah datang untuk meraikan perkahwinan adik lelaki saya tahun lepas.

gambar hiasan

Sesungguhnya, perasaan persaudaraan itu telah merentas erti berbezaan warna kulit.

Walaupun belum ada di kalangan ahli keluarga Ah Chuan yang menjadi Muslim, jauh di hati kecil saya amat berharap suatu hari nanti, Allah akan membukakan hati mereka untuk menerima Islam.

Dan sekiranya ia berlaku, saya berdoa kepada Allah agar pergaulan baik kami dengan mereka dapat dikira sebagai usaha dakwah bil hal kami.

Jika difikirkan kembali di hati kecil saya, ada sedikit kesal kerana anak-anak saya tidak dapat melalui pengalaman yang sama. Tinggal di kawasan majoriti Melayu, bersekolah di sekolah Islam, pergaulan dengan bangsa lain amat minimum.Kemahiran sosial untuk bergaul antara kaum berbeza boleh dikatakan hampir tiada.

" Orang Cina mesti jahat kan, Umi' terkadang anggapan naif dari anak kecil mengejutkan saya.

"Takdelah, ada juga orang Melayu yang jahat dan orang Cina yang baik. Kalau orang Cina itu Islam, dia jadi saudara kitalah kerana Islam tu bukan untuk Melayu sahaja', harapan saya agar penjelasan saya boleh menjernihkan sedikit kekeliruan pemikiran anak kecil saya.

Kenapa mutaakhir ini, pemikiran dikotomi sebegini ingin dihidupkan semula.Jurang antara kaum semakin ketara walaupun perpaduan telah dicanangkan merentas negeri dengan media penggegar negara. Semakin kuat paluan perpaduan itu dicanang, semakin luas pula jurang yang terjadi.

Formula yang digunakan itu barangkali yang tidak secocok.

Soalan yang sama masih saya utarakan SALAHKAH KITA BERLAINAN WARNA, BAHASA DAN BUDAYA?

Bukankah Al-Quran ada menyatakan :

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui "

(Ar-Rum : 22)


Oh begitu rupanya, memang Allah sengaja menjadikan kita berlainan bahasa dan warna kulit sebagai tanda kekuasaanNya. Bukan itu kedengaran logik? Tetapi mungkin tidak bagi segelintir orang kerana ia hanya menjadi tanda kekuasaan Allah bagi orang yang mengetahui atau orang berilmu.



Bukankah Allah ada berfirman lagi :

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan, Dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi ALlah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

(Al-Hujurat : 13)


Selain dari dijadikan manusia dengan penuh kepelbagaian untuk menunjukkan kekuasaanNya, ia juga mempunyai hikmat untuk kita saling kenal-mengenal. Bukankah ia satu seruan dakwah kepada kita, umat Islam untuk kita berdakwah kepada mereka yang belum Islam.Sudah pasti, usaha dakwah itu perlu dipercantikkan dengan mengenali mad'u kita dulu dan menunjukkan pergaulan dan akhlak yang baik kepada mereka.




Janganlah kita merasa bangga diri kerana dilahirkan di dalam bangsa atau kasta yang lebih baik daripada orang lain dan janganlah kita merasa gundah kerana diletakkan di dalam golongan orang yang rendah.



Kenapa pula? Kerana orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kita.

Dengan formula ini, beruntunglah kita kerana dilahirkan di dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan suku kerana peluang untuk kita saling mengenal dan berdakwah amat terbuka luas.

Ambillah peluang ini sebagai keberkatan dan cabaran untuk diri kita sebagai umat kepada cara hidup yang menjadi rahmat untuk sekelian alam.

Jadi saudaraku, salahkah kita berlainan warna?


Allahu'alam

Ummuzulfa, March 2008










































4 comments:

UmmuNaylah said...

walaupun tidak sempat merasa pengalaman bersama di kampung terpencil...nukilan kali ini meninggal kesan...
well written !!

Ummuzulfa said...

TQ.

Ah Chuan dan Ah Chin ada juga mengikut masa hari raya rumah Mak Long, pergi berkelah kat PD, pergi Konvo kat UM.
Memang rapat kami masa kecil.

ZZ said...

Ummuzulfa,
1. Saya membesar di kampung juga n bapa adalah satu2nya peruncit melayu dia kawasan yg 99% melayu dan kami melalui keadaan serupa. Melayu sendiri tak bantu melayu, sebaliknya sanggup pergi ke kedai Cina yg jauh untuk membeli. Ini tidak akan berlaku di dalam masyarakat Cina (correct me if I'm wrong).
2. Saya tidak berpeluang melalui pengalaman membesar dgn bangsa lain tapi alhamdulillah setakat ini saya selalu pastikan anak2 saya membesar/bercampur bersama bangsa lain dan juga melayu. Apa yg penting, anak2 mesti tahu nilai2 agama yg mesti dituruti. Kadang2, dengan bercampur dgn bangsa lain, kita lebih 'alert' tentang betapa pentingnya fahaman agama yg kuat supaya apa yg perlu dapat disampaikan kepada bangsa lain yg tidak seagama. Saya rasa, melayu skrg amat takut utk bercampur dgn bangsa lain. Kita amat selesa berada di dlm 'comfort zone' i.e. hanya bercampur dgn melayu sahaja. Dan kita selalunya lebih utamakan nilai budaya drpd tuntutan agama.

Ummuzulfa said...

Terima kasih kerana sudi "menjengah". Saya mengerti kerana memang situasi itu sama.Susah betul nak majukan kedai walaupun tinggal di kelompok bangsa sendiri.
Arwah abah bertekad untuk meneruskan berkedai kerana fardhu kifayah katanya....sekarang pakcik yang telah mengambil alih kedai tersebut..

Melayu memang agak 'sukar' untuk bergaul dengan yang bukan Melayu kerana banyak assumption yang mengekang. Pengalaman buat kerja sukarela di tempat Cina, mereka dapat menerima Melayu kalau kita dapat memecahkan tembok...

Itu menjadi tanggungjawab kita...

Terima kasih sekali lagi

Free Counters
Petco Promotion Code