'Kawan abang, akhi Zakaria tu baru meninggal pagi tadi, sebelum subuh", pantas suami saya memberitahu selepas mendapat panggilan telefon dari rakannya.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un" , ye ke bang, bukan ke isteri dia baru meninggal tahun lepas? saya pula pantas membalas soal.
"A'ah ye"
Begitulah antara dialog terkejut kami pada Sabtu itu. Sambil menghabiskan masa di dalam kereta menunggu 2 anak kami menghadiri kelas Kumon, suami mengambil peluang melelapkan mata sebentar kerana keletihan baru balik dari tempat kerja sebelum subuh pagi tersebut.
Hasrat kami selepas anak-anak selesai kelas Kumon, ingin terus ke Kuala Lumpur melawat ekspo Smart Kid di PWTC.
Kita merancang, Allah juga merancang namun perancangan Allah itulah yang paling baik.
Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk ke Muar menziarahi beliau untuk kali terakhir.
Saya tidak mengenali arwah secara dekat, beliau adalah rakan seuniversiti suami saya dan beberapa tahun lebih senior daripada suami saya. Beliau juga adalah antara pengasas alumni Persatuan Islam universiti mereka.
Saya hanya sempat berjumpa beliau dari jauh semasa menghadiri usrah alumni universiti suami saya. Arwah isterinya pernah saya temui di salah sebuah usrah yang telah saya hadiri.
Ya, siapa sangka, begitu cepat Allah memanggil mereka berdua. Tidak sampai setahun arwah isteri beliau meninggal dunia kerana barah, kini beliau pula menyusul. Mengikut apa yang diberitahu oleh kawan suami, beliau meninggal di dalam tidur dan rasanya beliau tidak mempunyai sebarang penyakit kronik setakat yang diketahui.Beliau pula baru berumur awal 40-an.
Ya Allah, sedih dan terkejut kami tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Maha Benar Firman Allah,

Dari kejauhan saya ternampak, anak arwah yang bongsu, seorang adik comel, sibuk bermain-main di celah-celah keramaian tetamu. Sekali pandang, umum boleh mengetahui penyakit yang sedang dihadapi oleh si kecil. Saya pernah berbual dengan arwah ibunya semasa menghadiri usrah, pada waktu itu, mereka sekeluarga baru pulang dari Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut berkaitan masalah jantung anak bongsu mereka itu di IJN.Dengan keprihatinan dan rasa tanggungjawab, arwah ayahnya singgah juga di Bangi untuk memberi usrah kepada kumpulan alumni mereka sebelum bertolak ke Muar pada tengah malam yang sama.
Anak-anak yang lain saya tidak dapat berjumpa, tetapi saya mengetahui dan memahami riak wajah kesedihan mereka.Ada seorang anak perempuan arwah, hanya termenung di tepi pintu dapur dengan pandangan yang kosong. Saya menangis di dalam hati.
Tidak dapat tidak, apa yang terjadi, mengundang nostalgia tersendiri pada saya. Sepuluh tahun dulu, saya pernah kehilangan abah. Dan pada waktu itu, hanya saya seorang sahaja yang baru bekerja, itupun belum lagi mendapat gaji pertama. Tujuh adik-adik yang lain masih belajar dan yang bongsu masih di dalam darjah 4.
Gelap pandangan pada masa itu, abah yang selama ini menjadi dahan tempat bergantung telah tiada. Tetapi kami masih dikurniakan dengan kehadiran seorang ibu dan ramai saudara-mara.Berkat ketabahan ibu dan kasih-sayang saudara-mara, kami dapat meneruskan kehidupan.
Jadi, saya sedikit sebanyak dapat memahami apa yang dihadapi oleh adik-adik ini. Dengan sekelip mata mereka telah menjadi yatim - piatu.Semoga mereka semua termasuk yang ditanggungjawabkan untuk menjaga anak-anak yatim ini dipermudahkan oleh Allah di dalam segala urusan.Insya Allah ganjaran yang sangat besar menanti bagi sesiapa yang menjaga anak yatim, dan di syurga kelak mendapat tempat yang istimewa bersama Rasulullah, Insya Allah
Ya, sememangnya kita sedang menanti satu saat yang pasti.
Diam sendiri, saya merenung ke dalam diri, kalau ini terjadi kepada saya, kalau ditakdirkan saya yang mendahului pemergian dari dunia ini.......
Solatku...sempurnakah ia?
Puasaku......tertunaikah ia?
Amal ibadahku......cukupkah ia untuk aku mengadap Tuhan?
Sudahkah saya mendidik anak-anak dengan sempurna?Sudahkah saya berbakti kepada kedua ibu-bapa seperti yang sepatutnya? Sudahkah saya menghargai/menyayangi suami sepertimana Saidatina Aisyah mengasihi Rasulullah?
Saya berfikir lagi, yang pergi, sudah tentu tempatnya.....mudah-mudahan diletakkan di tempat yang dirahmati Allah...
Tetapi bagi yang tinggal, bagaimana.....?
Perlukah periksa semula akaun takaful, wasiat atau hibah? Supaya yang tinggal dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna tanpa mengharapkan belas ihsan orang semata-mata atau meminta-minta?

Sudahkah diperiksa semua hutang yang tertunggak? Supaya yang ditinggalkan tidak dibebani dengan hati yang tidak bersedia?
Harap-harap, kita yang ditakdirkan pergi dapat pergi dengan amalan yang cukup dan yang ditinggalkan dapat meneruskan kehidupan dengan sewajarnya.
Begitulah kehidupan, satu peristiwa yang terjadi sebenarnya membawa seribu pengajaran bagi mereka yang mahu memikirkan.
Apa yang terjadi pada 22 Mac 2008 ini, banyak meninggalkan kesan di hati saya.
Hati yang sayu mengenangkan nasib anak-anak arwah sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur.
Semoga mereka semua diberi kekuatan oleh Allah untuk menghadapi ujian ini. Insya Allah ada hikmat yang sedia menanti bagi yang sabar.
Bagi kita yang masih diberi peluang menghirup udara, mungkin hadis ini boleh dijadikan panduan
From Ibnu Umar,
If you reach the evening then do not expect to reach the morning and if you reach the morning then do not expect to reach the evening. Take from your health before your sickness, and from your life before your death'
Hadis Al-Bukhari

Al- Fatihah untuk arwah Akhi Zakaria Noor.
Allahu'alam.
Ummizulfa, March 2008
Nota : Layout untuk entry ini dapat dilihat secara sempurna
dengan menggunakan mozilla firefox.
Pengguna Internet explorer mungkin akan menghadapi pertindihan layout
untuk bahagian bawah entry ini. Segala kesulitan amat dikesali.
No comments:
Post a Comment