Thursday, January 22, 2009

ALAHAI ANAK PEREMPUAN

"anak dah berapa dah..."soalan biasa ditanya.

"berapa lelaki dan berapa perempuan?...."

"semua perempuan??...ye ke...kesiannya...ni kena cuba lagi ni.!!!....' reaksi biasa yang saya dapat dari orang yang bertanya.

Sekali, dua kali atau tiga kali....saya sudah biasa mendengarnya tetapi kalau sudah berpuluh-puluh kali dalam masa 11-12 tahun perkahwinan saya......perasaan marah dan tidak puas hati kadang-kadang bersarang juga di dalam hati.

Astaghfirullah......

Kata orang...lidah tidak bertulang.


Sering kita tidak meletakkan butang pause dalam percakapan kita yang kadang-kadang menghiris perasaan orang lain.
Dan saya kadang-kadang terluka hati di atas kata orang-orang di sekeliling saya yang 'kasihankan' saya yang tidak mempunyai anak lelaki.

Sayakah yang bersalah?

Sememangnya,masyarakat kita menyanjungi orang lelaki.
Lelaki ketua keluarga, ketua masyarakat dan ketua negara...
Lelaki pelindung kaum wanita ( betul ke)

Secara fitrahnya, saya juga teringin melahirkan dan mendidik anak lelaki tetapi setakat hari ini saya masih tiada rezeki.

Namun, siapa pula saya yang ingin mempertikaikan rezeki yang Allah berikan kepada saya.
Tetapi sebagai manusia biasa, perasaan sedih kadang-kadang singgah di hati saya.

Kenapa ye?

Adakah saya risau kelak tiada anak yang akan menjaga saya ketika tua nanti?

Adakah saya runsing doa anak-anak perempuan saya tidak sampai kepada saya dan suami di dalam kubur nanti?



Adakah saya risau harta peninggalan saya akan jatuh ke tangan ahli waris yang lain jika saya dipanggil mengadap ilahi suatu hari nanti kerana saya tiada anak lelaki.?

Atau saya khuatir suami saya akan beralih arah kerana inginkan anak lelaki? Na'udzubillah...

Cepat-cepat perasaan itu saya tepis....Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Kenapa pula saya harus risau dan runsing?


Saya teringat beberapa orang rakan saya yang sudah berkahwin melebihi 10 tahun dan masih belum dikurniakan zuriat.
Saya lebih beruntung kerana telah dikurniakan 5 cahayamata yang sihat dan sempurna.

Walaupun hanya sebuah drama, saya teringat kisah "isteri untuk suamiku" , sebuah drama Indonesia di mana isteri pertamanya mencari seorang 'isteri kontrak' untuk suaminya semata-mata untuk mendapatkan anak.Begitu sekali terdesaknya mereka kerana untuk mendapatkan anak.

Bagaimana pula dengan nasib ibu-ibu di Palestin yang saban hari terdedah kepada kemungkinan kehilangan anak-anak kecil mereka di atas kekejaman regim Israel yang tiada hati perut?

Jadi wajarkah saya bersedih hati?
Wajarkah saya mengambil hati tentang cakap-cakap orang di sekeliling saya?

Yang pasti saya harus bersyukur kerana diberikan sebuah keluarga yang serba-serbi mencukupi dan sempurna.

Tetapi kenapa hati ini masih lagi tidak tenang...?

Buku Fiqh Bayi karangan Ibnul Qayyim al-Jauziyah telah memberikan saya jawapan yang mententeramkan jiwa saya.

Ulama' terkenal ini sangat prihatin di dalam hal ini sehingga ada satu bab khusus berkaitan dengan dengan keluh kesah manusia bila dikurniakan anak perempuan di bawah tajuk Makruh Menggerutu Dikaruniai Anak Perempuan.

Jelas dituliskannya bahawa menggerutu di atas kelahiran anak perempuan adalah salah satu tabiat buruk kaum jahiliyyah...
Minta dijauhkan umat Islam dari meniru tabiat kaum jahiliyyah termasuklah saya..Astaghfirullah.
Kisah kaum jahiliyyah ini diceritakan oleh Allah di dalam surah An-Nahlu :58-59 dengan terjemahannya :




Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati.
[59] Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): Adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.


Sebenarnya ada banyak hadis sahih yang menceritakan tentang kelebihan ibu-bapa yang membesarkan anak-anak perempuan.

Renung sahaja Hadis sahih di bawah ini...

"sesiapa saja dicobai sesuatu dari anak-anak perempuan itu tetapi tetap berbuat baik kepada mereka, anak-anak itu akan menjadi penutup baginya dari api neraka"
(Sahih Imam Bukhari 1418 dan Shahih Imam Muslim 2629)

Subhanallah....begitu besarnya ganjaran bagi ibu-bapa yang tetap berbuat baik kepada anak-anak perempuan mereka...suatu motivasi yang sangat hebat untuk mereka (dan saya juga)


Di dalam satu lagi hadis sahih riwayat Imam Ahmad


"Siapa saja mempunyai tiga orang anak perempuan,lalu dia bersabar mengasuh mereka, memberi makan mereka, memberi minum mereka dn memberi pakaian mereka dari kekayaannya, anak-anak itu menjadi tabir baginya dari api neraka"


Maha suci Allah...Allah sebenarnya memberi peluang kepada saya dan suami untuk berbuat baik kepada anak-anak kami agar mereka dapat menghindari kami dari azab api neraka.Sepatutnya kami gembira kerana bukan saja diberikan 3 tetapi 5 anak perempuan yang mampu menjadi tabir bagi kami dari api neraka.




Bukankah itu satu jaminan dan motivasi terbaik yang diberikan oleh Rasulullah untuk kami dan para ibu-bapa di luar sana yang dikurniakan anak-anak perempuan?

Wajarkah saya terus mengambil hati terhadap kata-kata orang di sekeliling saya yang dengan mungkin belum terdedah lagi kepada sabda Rasulullah ini?

Lihat pula bagaimana ulama' tersohor itu menjelaskan tentang Firman Allah di dalam surah Asy-syura :49-50



Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: Mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa
.


Permulaan ayat yang menceritakan tentang kepunyaan Allah langit dan bumi dan dia menciptakan semua yang dikehendakiNYa walau tidak disukai oleh manusia kerana Allah lah yang Maha Berkuasa menciptakan setiap sesuatu.


Menurut Ibnul Qayyim, Allah memulai ayat itu dengan menyebut anak-anak perempuan dengan tujuan untuk mendahulukan semua yang diakhirkan oleh kaum jahiliyyah dalam soal anak perempuan.Jika dulu kaum jahiliyyah sangat kesal jika diberikan anak perempuan sehingga sanggup menimbus mereka hidup-hidup dan Allah memberi penghormatan kepada kaum perempuan dengan menyebutnya dahulu.


Pendapat lain pula mengatakan hal itu demi membela mereka kerana para ibu bapa waktu itu merasa keberatan dengan kelahiran anak perempuan.


Ada pendapat pula mengatakan bahawa Allah boleh melakukan apa saja yang dikehendakiNya, tidak harus melakukan semua yang dikehendaki ibu bapa.


Pokoknya, samada ibu-bapa mendapat anak perempuan sahaja, anak lelaki sahaja atau kedua-dua sekali atau langsung tiada anak adalah menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t kerana Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.


Justeru siapalah saya yang merasa keluh kesah di atas rezeki saya ini?


Siapalah mereka yang sering ingin mempertikaikan jantina anak saya?

Bukankah janji Allah dan para Rasulnya telah jelas di dalam Firman dan Sabda Rasul.


Kepada ibu-bapa yang mempunyai anak perempuan sahaja, renunglah kisah yang dinukilkan oleh ulama' ini...

Shalih bin Ahmad berkata, ketika ayahku dikurniakan anak perempuan, dia berkata " Para Nabi adalah ayah anak-anak perempuan"

Malahan Rasulullah juga ditakdirkan oleh Allah membesarkan anak-anak perempuan sahaja kerana anak lelaki Baginda meninggal dunia sewaktu kecil.

Jadi....

wahai ibu anak anak perempuan...

Wahai bapa anak-anak perempuan...

Hapuskanlah keluh kesah kita kerana Allah memilih kita untuk mengumpul kebaikan yang banyak dari pengorbanan kita membesarkan anak-anak.


Allahu'alam
Ummuzulfa
22 Jan 2009

10 comments:

Anonymous said...

Nabi s.a.w. ada bersabda : “Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya ALLAH akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmayNYA untuk mereka.

Seorang lelaki bertanya : Juga untuk 2 anak perempuan wahai Rasulullah?? Sabda baginda : Juga untuk 2 anak perempuan.

Seorang lelaki berkata : atau untuk seorang wahai Rasulullah?? juga untuk seorang.” Riwayat Ahmad dan Al-Hakim

Namun, diperluaskan juga kepada memelihara saudara perempuan. Sabda Rasulullah “Tidak ada bagi sesiapa 3 org anak perempuan ataupun 3 saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan ALLAH taala akan memasukkan mereka ke syurga” Riwayat Al-Bukhari.

*****************

Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya,
derajatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah
S.W.T. dan orang yang takutkan Allah S.W.T. akan diharamkan api
neraka ke atas tubuhnya

**************

saya pulak pingin baby girl :-)

PU3 said...

salam kak....tenang aje...anak lelaki ke perempuan...bila kita didik dengan aqidah yg benar, jd anak soleh, mereka akan berbakti n sampai doanya pada kita.

hadis NAbi :

'Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali 3 : sedekah jariah, ilmu yg bermanfaat dan anak soleh yg mendoakan."

semoga Allah kurniakan kita anak yg soleh....amin

tini said...

salam.
rezeki lelaki/prmpuan adalah hak allah.bg sy, rsnya x byk beza antara 2 ni.cm sbg hambaNya yg lemah kt x mungkin pernah puas.redha & sabar ye :)

**sedara sy beristeri 2.12 anak dr dua2 isteri adalah prmpn.

Anonymous said...

mashaAllah, artikel yang cukup menarik dan terkesan di jiwa, tahniah kak...i love this article..

Ummuzulfa said...

TQ for all comments.

Saya sangat bersyukur dengan apa yang ada tetapi sebagai manusia biasa, kadang-kadang terkesan dengan tekanan sekeliling.

Apapun, jarang sekali kita membacakan hadis-hadis ni sebagai kata-kata kepada ibubapa yang ramai anak perempuan.

Semoga boleh menjadi alternatif kepada kata-kata "membesarkan anak perempuan lebih susah dari jaga sekandang kerbau"

sungguh tak sesuai..!!!

Mutiara NS said...

Assalamu'alaikum kak.
Tahniah sekali lagi. Seronok baca artikel akak. anak lelaki ke, perempuan ke, semuanya anugerah Allah yang tidak ternilai.Semuanya ada rezeki dan semuanya bermakna dalam kehidupan. allah tidk pernah membezakan hamba-hambaNya. Cuma manusia sering terpandang faktor jantina dalam kelahiran anak2x. Yang penting anak2x kita sihat dan menjadi anak2x yang soleh dan solehah. Jaga diri bebaik ye kak. Lepas nie banyak program menyusul

Aishah Megahasz said...

Salam,
Saya yang baru ada 2 anak lelaki dan sedang mengandung ni pun selalu ditanya dengan pertanyaan, lepas ni boleh dapat baby girl pulak. Bukan kerja saya nak tentukan baby di dalam rahim ni lelaki atau perempuan. Itu semua kerja Allah s.w.t. Yang penting anak-anak sihat, sempurna. Insyallah.....

Ummuzulfa said...

Aishah...

Congrates on your pregnancy.
Biasalah naluri manusia....yang penting kena belajar jangan simpan dalam hati kata-kata manusia ni (tu yang kekadang susah tu).

yang penting jadi anak yang soleh/solehah.

Take care

Now you have more reasons to BW kan.

Zila said...

Saya ada 3 anak perempuan, 4 sebenarnya tapi yang sulung meninggal 2 hari selepas di lahirkan. Macam puan saya pun teringin punya anak lelaki tapi mungkin rezeki kami lebih kepada anak perempuan. Alhamdulillah they grow well and we love them so much that word cannot describe...Semoga mereka menjadi anak2 yang Solehah and di berkati...Amin.

LiXa the Mama Alya said...

bace blog Kak Faridah mesti terkesan di hati, saya pun syukur dapat anak perempuan. Tapi, nak tergelak juga bace reply Akak kat Aishah

Now you have more reasons to BW kan

hehehehe :P

Free Counters
Petco Promotion Code