Tazkirah dari Prof. Dr Zulkifli Yusof hari itu memang menyentuh hati saya. Tazkirah beliau setiap hari Jumaat di radio IKIM.fm memang jarang saya tinggalkan. Hari ini adalah berkaitan dengan air, tafsiran dari Al-Quran dan pada hari tersebut adalah berkaitan dengan air susu ibu. Beliau membacakan beberapa potong ayat Al-Quran tentang kepentingan pemberian susu ibu kepada bayi yang baru lahir dan galakan Allah tentang penyusuan susu ibu paling kurang untuk 21 bulan (berdasarkan tafsiran yang telah dibincangkan) dan sebaik-baiknya cukup dua tahun (24 bulan)
Hati saya bergetar…. banyak ilmu yang kurang di dada saya sebenarnya.. dan atas kekurangan ilmu itulah saya mengambil ringan tentang penyusuan susu ibu untuk anak pertama dan kedua saya.
Memang saya mengetahui tentang kebaikan susu ibu, apakan tidak, saya belajar di bidang perubatan dan segala fakta dan kajian berkaitan memang tidak dapat dinafikan…tetapi kenapa ‘kesedaran’ itu kurang ? mungkin ada yang bertanya…..
Apa yang saya boleh perkatakan adalah kerana tekanan kerja dan persekitaran yang tidak membantu adalah antara sebabnya tetapi bagi saya ilmu adalah faktor yang sangat mempengaruhi.
Saya mengandung anak pertama semasa tahun akhir pengajian dan bersalin 3 bulan sebelum mula bekerja sebagai pegawai perubatan pelatih. Saya tahu adalah baik untuk saya menyusukan bayi dengan susu jadi semasa dalam pantang saya menyusukan Fatin dengan susu ibu.
Saya tidak tahu yang kita boleh membuat stok susu ibu semasa dalam pantang, cuba untuk praktis memberi susu perahan semasa di dalam pantang dan saya tidak tahu tentang adanya alat perahan susu yang efektif untuk memerah susu… hmm..banyak sebenarnya yang tidak diajar di dalam universiti tentang susu ibu ini.
Jadi , semasa mula bekerja, saya tidak membuat apa-apa persedian yang sepatutnya jika saya ingin menyusukan Fatin dengan susu ibu secara eksklusif, dan yang paling menyedihkan ( bagi saya sekarang, bukan waktu itu) adalah saya tidak ada sedikit pun perasaan bersalah memberinya susu formula tanpa berusaha dengan lebih gigih untuk memberinya susu ibu.
Pada waktu tersebut, pemberian susu formula adalah sesuatu yang ‘natural’ terutama bagi ibu-ibu yang bekerja, jadi apa yang saya buat pada waktu itu adalah perkara yang biasa dan tidak ada apa yang patut dirisaukan. Sebenarnya, saya mengambil ringan persoalan tersebut kerana ‘TIDAK ADA ILMU’
Bekerja sebagai pegawai perubatan pelatih memang sangat mencabar… bermula seawal jam 630 pagi dan mungkin akan berakhir jam 11 malam esoknya sekiranya ‘on-call’ telah memaksa saya membuat keputusan menghantar Fatin ke kampung untuk dijaga oleh ibu saya. Jadi peluang saya menyusukan Fatin secara terus memang terbatas.
Walaupun kampung saya hanya 30-40 minit perjalanan dari tempat kerja, tetapi saya tidak dapat pulang setiap hari kerana bebanan kerja yang memerlukan saya bermalam di hospital.
Lama-kelamaan Fatin tidak mahu menyusu terus dari saya walaupun saya cuba memberinya sekiranya saya pulang ke rumah ibu.Fatin akan menangis tidak mahu menyusu dari saya sambil melentuk-lentukkan badannya walaupun pengeluaran susu masih banyak.
Jika difikirkan kembali, saya merasakan bahawa Fatin telah keliru puting (nipple confuse) kerana telah lama menghisap dengan putting tiruan yang tidak memerlukan lidah dan bibirnya ‘bekerja’ jika hendak dibandingkan dengan menghisap dari putting payu dara.
Saya memang tiada idea langsung pada masa itu tentang perkara tersebut… isk…mekanisma bayi menyusu dari payu dara tidak termasuk di dalam silibus masa pengajian dulu.
Lantaran itu, saya hanya mampu menyusukan Fatin dengan susu ibu cuma untuk 2-3 bulan pertama sahaja.
Tetapi pada masa itu, saya masih tidak mempunyai azam yang kuat untuk memperbaiki skil saya untuk anak yang akan datang.
Saya berkata pada diri sendiri “ nak buat macam mana, dia dah taknak minum susu ibu, bagi aje lah susu botol… buat apa nak risau” .Begitulah kejahilan saya pada masa tersebut.
Dan kejahilan tersebut , masih berulang untuk anak kedua saya. Iman dilahirkan bila Fatin berumur 1 tahun 7 bulan. Walaupun saya tidak bekerja di hospital lagi pada masa tersebut, tetapi saya tidak mengambil peluang dengan bebanan kerja yang tidak seteruk dulu untuk cuba menyusukan Iman dengan lebih serius.
Kenapa ye?... kerana kekurangan ilmu…..
Saya bekerja ikut waktu pejabat kerana bekerja di klinik kesihatan , dan tengahari saya akan pulang ke rumah untuk makan tengahari. Walaupun agak sibuk melihat pesakit sepanjang berada di klinik, tapi saya rasa waktu untuk saya mengepam susu boleh diluangkan sekiranya saya tahu caranya dan menggunakan pam yang sesuai. Malangnya saya tiada pengetahuan yang cukup pada waktu itu.
Iman pun menghadapi masalah yang sama dengan Fatin, keliru puting… saya tidak tahu dengan kewujudan puting botol yang telah digredkan dengan umur bayi supaya mengurangkan risiko bayi boleh keliru putting.
Jadi, Iman pun hanya menyusu susu ibu secara eksklusif untuk 2 bulan pertama dan campur dengan susu formula sampai berumur 4 bulan. Iman berhenti meyusu badan sepenuhnya bila berumur 4 bulan.
Bila difikirkan kembali , saya sebenarnya mempunyai peluang yang besar untuk menyusukan anak secara eksklusif tetapi atas dasar kekurangan ilmu, maka peluang itu terlepas begitu sahaja.
Saya terpaksa menunggu 4 tahun pula untuk berpeluang menyusukan anak ketiga saya dan pada waktu tersebut, saya mempunyai lebih banyak informasi dan pengetahuan untuk menyusukan anak dengan lebih lama.
Kesimpulannya, motivasi terpenting untuk kita membuat apa-apa sekalipun mesti dimulakan dengan ilmu. Seperti kata-kata yang biasa kita dengar “ information is power”.
Satu ilmu yang saya dapat dari tazkirah Prof Zulkifli ialah betapa pentingnya pemberian susu ibu ini kepada anak-anak kita sehingga disebut secara khusus di dalam Al-Quran sebanyak 3 kali. Memetik inti dari kata-kata Prof Zulkifli “ tak dapat tidak, memang susu ibu ini sepatutnya diberikan walaupun tidak sampai ke tahap wajib tetapi sangat digalakkan. Al-Quran memberi panduan dan fleksibiliti tentang berapa lama untuk menyusukan bayi dengan susu ibu bergantung kepada keadaan ibu, tetapi tidak pula disebut dibolehkan untuk tidak menyusukan anak sekiranya ada kepayahan.’
Jadi, dengan motivasi yang kuat dari ayat Al-Quran ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk cuba menyusukan anak kita dengan susu ibu seberapa lama yang boleh.
SUSUKANLAH ANAK ANDA…..MULAKAN DENGAN MENDAPATKAN ILMU YANG BETUL…
Allahu'alam
Ummuzulfa
(artikel ini ditulis pada 29 Jan 2008)
Disclaimer : gambar - gambar peralatan menyusu ini adalah hiasan semata-mata. Penulis tidak ada sebarang kepentingan peribadi dengan mana-mana jenama.
1 comment:
Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Daripada Sahal ibnu Mua'az ibnu Anas daripada bapanya Radiallahuanhum sesungguhnya Nabi Muhammad bersaba: Barang siapa yang mengajarkan satu ilmu maka baginya pahala orang yang mengamalkan ilmu tersebut tanpa mengurangkan pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun."
Selain daripada itu, Allah Subhanahu Wata'ala juga akan berjanji akan memberikan kemuliaan kepada sesiapa sahaja yang menuntut ilmu. Ini dapat dilihat melalui firman Allah dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 yang tafsir-Nya: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya apa yang kamu lakukan."
abuiman
Post a Comment