Wednesday, July 9, 2008

HARI SABTU PENUH ILMU (walau sedikit haru biru...)

sumber

" Ok ye, tengahari nanti siap ye, kita pergi KL "

" Fairuz nak masuk kelas ikut ayah lah....."

"Kakak taknak.....nak jaga adik "

Begitulah antara dialog-dialog rutin kami setiap hari Sabtu bermula awal Mei lalu.

Kalau hujung minggu adalah hari rehat bagi kebanyakan keluarga, bagi kami terutamanya saya suami isteri dan juga ibu, ia merupakan hari ilmu.

Universiti Malaya, khasnya di Akedemi pengajian Islam merupakan destinasi mingguan kami setiap Sabtu.

sumber

Walaupun, jarak di antara rumah dan UM menghampiri 70 km melalui lebuh raya utara selatan (PLUS), tetapi ia tidak pernah melemahkan semangat kami untuk menempuhnya saban minggu.


Sebenarnya, selepas menghabiskan pengajian sarjana saya, saya teringin untuk menimba ilmu agama secara sistematik.
Ye lah, zaman sekarang kadang-kadang banyak sangat kekeliruan berkaitan agama sering ditimbulkan dan hanya ilmu sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari terus berada di ruang kekeliruan.

Justeru, saya membuat pencarian.....

Hampir semua website universiti-universiti terkemuka di Malaysia saya layari terutama yang berhampiran dengan tempat tinggal kami di Seremban, namun akhirnya saya merasakan Akademi Pengajian Islam,UM merupakan tempat terbaik kami untuk menadah ilmu.

Mungkin ada yang bertanya kenapa UM yang menjadi pilihan kami sekeluarga.

Maklumlah, 70 km tu bukan dekat dan itu belum dikira dengan kos minyak, tol dan sampingan yang lain.

Bagi saya, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Mungkin juga pilihan saya adalah kerana saya banyak menghabiskan masa pengajian saya di UM, manakan tidak, 7 tahun untuk undergrad dan 4 tahun pula untuk post -grade.
Justeru, UM sangat dekat di hati saya.
Ditambah lagi, 5 dari 8 adik-beradik saya semuanya telah di'menara gadingkan' di UM.

UmCCED menawarkan sijil dan diploma eksekutif untuk orang awam di dalam pelbagai bidang dengan harga yang berpatutan.

Saya mengambil Sijil Pengajian Syariah dan suami serta ibu mengambil Sijil Pengajian Usuluddin.
Setiap satu pengajian terdiri dari 3 modul yang dijalankan di dalam jangkamasa 4 bulan setiap modul dengan bayaran RM250 setiap modul.

Pelajar akan mendapat nota dan kuliah-kuliah akan diberikan oleh pensyarah UM atau pensyarah jemputan.


Pengajian saya bermula sejak saya mengandungkan Zulfa tahun lepas untuk modul ke 3 ( kerana modul 1 sudah penuh).
Kemudian diikuti oleh modul 1 yang bermula sebulan selepas saya melahirkan Zulfa.

Jadi, kami sekeluarga akan membuat 'trip keluarga' setiap Sabtu ke KL termasuklah saya yang masih dalam pantang pada waktu itu.
Memandangkan kelas hanya bermula pada pukul 3 dan hanya mengambil masa selama 2 jam maka Zulfa saya tinggalkan di surau bersama dengan pembantu kami.

Untuk modul ke 2 sekarang ini, Zulfa sudah pun berumur setahun lebih...dan nampaknya Zulfa sudah masuk U dari masa bayi lagi :D


Jadi, setiap hari Sabtu, memang agak haru-biru bagi saya untuk menguruskan anak-anak.
Pagi-pagi akan bersiap untuk ke kelas Kumon yang kadang-kadang selesai hanya pada jam 11 pagi.
Kemudian akan bersiap untuk masak tengahari ( selalunya pembantu yang banyak take over), menyiapkan bekalan untuk dibawa sebagai kudapan anak-anak sementara menunggu kami habis kelas dan menyiapkan Zulfa dan bakulnya.

Suami pula bekerja selang setiap Sabtu, jadi sekiranya jatuh pada minggu yang suami bekerja perlu pula menunggu beliau balik kerja dan kemudian bergegas menyusuri lebuhraya PLUS selepas zuhur.

Jadi, tidak hairanlah kalau selalu juga kami lambat masuk kelas :D

Anak-anak pula lebih suka menunggu di surau atau di luar bilik-bilik kuliah kerana kawasannya luas dan berhawa dingin.

Fairuz dulu pasti akan mengikut ayahnya masuk ke dalam bilik kuliah tetapi sekarang lebih gemar bermain bersama kakaknya.

Jika ditanya apa yang dia belajar , " Cikgu ayah tu cakap-cakap je...." balasnya selamba.

Maklumlah budak-budak, 2 jam tu kadang-kadang terlalu lama bagi mereka dan bila tiba habis kelas, masing-masing sudah agak hilang 'kewarasan' sambil melompat-lompat bermain ;D

Dan menjadi satu kewajipan rutin kami saban minggu akan singgah di restoran Amjal di depan UM untuk menjamu selera selepas separuh hari menghabiskan masa KL.



Terus-terang saya katakan, bukan mudah untuk mujahadah melawan kekangan masa dan tanggungjawab untuk menuntut ilmu.

Namun, bila ilmu sudah dapat didengari, rasa berbaloi tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Walaupun saya terkadang terpaksa menolak ajakan sahabat yang menjemput saya untuk apa-apa program pada petang sabtu, namun saya rasa telah membuat pilihan yang tepat.

Justeru, walaupun hampir saban Sabtu merupakan Sabtu yang agak haru-biru bagi kami sekeluarga tetapi ia penuh dengan ilmu, Insya Allah.

Semoga dengan ilmu itulah yang akan membimbing kami agar berjaya di dunia dan akhirat, Insya Allah


Allahu'alam


Ummuzulfa
9 Julai 2008

4 comments:

Anonymous said...

Tahniah, moga Allah swt mengangkat darjat orang yang menuntut ilmu.Seeru 'alabarokatillah.


-abuiman-

Anonymous said...

Kata Bekas Pensyarah Jab Pengajian Islam, UTM Dr Musa Fathullah Harun "Jangan belajar agama di tepi jalan". Dalam menuntut ilmu, disiplin yang ditekankan adalah pelajar kena kenal siapakah yang menjadi guru kita.Belajar dari guru yang muktabar dan yang tidak mengajar agama secara sorok-sorok.

TAHNIAH...moga diberkatiNya InsyaAllah.

-Fatin98

Ummuzulfa said...

Terima kasih kepada yang sudi singgah.

Semoga ilmu yang didapati dapat dilaksanakan di dalam bentuk amal, Insya Allah.

Dulu kami ingat kamilah yang paling jauh datang belajar tetapi baru-baru ini ada classmate suami saya yang datang dari Temerloh saban minggu.
Subhanallah...

Harapnya supaya budaya ilmu ini dapat menjadi budaya umat Melayu/islam di Malaysia.

somuffins said...

Salam. Tahniah diatas semangat yg dianugerah oleh Allah. Terima kasih ia membuka minda saya juga.

Amjal? Terkenang saya zaman dulu kala .. hehe .. zaman kolej, makan kat situ murah dan sedap.

Free Counters
Petco Promotion Code