Semenjak perkenalan saya dengan radio IKIM, saya rasa stesen radio lain sangat membosankan....dengan lagu dan pengisian yang tiada arah tuju dan matlamat.
Pernah sekali saya terdengar satu siaran stesen hiburan nombor satu di Malaysia ketika saya makan di satu gerai, topik yang dibincangkan adalah, baju apakah yang dipakai sempena Hari Raya nanti dengan pasangan (suami/isteri, tunang, pakwe/makwe)....kadang-kadang sampai menjelekkan.
Jika dibandingkan dengan rancangan Suara Hati, Usrah on-air, Islam dan peradaban dan lain-lain program hiburan yang bermatlamat di IKIM fm.
Saya bukan bekerja di IKIM fm atau diupah oleh radio tersebut untuk memuji mereka tetapi bagi saya yang sukakan pengisian ilmu (bagi seorang yang sukar untuk menghadiri majlis ilmu secara formal) ia sangat membantu.
"Topik yang kita bincang bersama Ir hari ini adalah Hijrah dan azam tahun baru" DJ Siti membuka bicara pada suatu petang...
Saya yang sedang memandu merasa teruja, memang bertepatan dengan sambutan tahun baru berganda baru-baru ini.
"Kita buka talian sekarang bagi sesiapa yang ingin berbicara dengan Ir" DJ terus petah berkata-kata.
"Okay, pemanggil seterusnya, assalamualaikum..."
"Saya Muhammad, kalau Ir masih ingat, dulu saya ada telefon berkaitan dengan rasuah....dan sempena azam baru ini saya pun bagi notis meletakkan jawatan kepada company saya....kemudian bos saya cakap berhenti hari ni jugak....jadi saya masih terkejut lagi sekarang ni....kalau boleh minta Ir bagi semangat pada saya untuk menghadapi perkara ini" pemanggil bercerita...
Ya Allah....air mata saya bergenang...
Bagi saya ianya satu hijrah yang sangat-sangat mulia - untuk membebaskan diri dari najis rasuah ( yang nampaknya masih berleluasa terutama untuk mendapatkan tender projek) dan beliau telah Allah uji , saya kira secara 'on the spot'
Bukan semua orang boleh melakukan seperti itu, namun Allah telah memilih saudara kita Muhammad untuk keluar dari belenggu rezeki yang penuh dengan syubhat itu.
"Saya ingat saudara Muhammad ini, beliau pernah menelefon kita untuk menceritakan company yang beliau kerja, sebab dia ni jurutera, dan kami pernah menasihatkan kalau boleh keluarlah dari tempat itu dan carilah rezeki di tempat yang lebih baik......" Ir Ahmad Jais, Pengarah IKIM fm terus memberikan kata-kata semangat ....
"Insya allah ada rezeki yang lebih baik di tempat lain"
Kata-kata semangat terus di berikan kepada beliau di udara oleh DJ dan Ir tuan Pengarah radio.
Entah kenapa saya sangat terkesan dengan peristiwa itu....
Sedih kerana menyedari rasuah masih berleluasa....dan kita hampir tidak mampu untuk berbuat apa-apa mengenainya.
Terharu kerana ALlah telah membuka hati saudara kita itu untuk berhijrah.
Lalu pantas jari jemari saya menaip sms untuk dihantar kepada IKIM.
"Kepada encik Muhammad yang telah berhijrah dari najis rasuah, tahniah kerana anda telah mengambil langkah yang tepat.Yakinlah Allah bersifat Ar-Razzaq dan muka bumi Allah ini sangat luas untuk kita semua"
Saya hanya boleh mendoakan semoga beliau diberikan rezeki yang melimpah ruah di tempat yang lebih baik dan beristiqamah dengan hijrah beliau.
HIJRAH ITU PENGORBANAN.
Allahu'alam
Ummuzulfa
30 Disember 2009