Friday, August 1, 2008

MENGEPAM SAMBIL MEMANDU? TIDAK MUSTAHIL (sempena minggu penyusuan susu ibu sedunia)



“Eh, you masih memerah susu ke Mimi?,” saya bertanya kepada sahabat saya yang baru balik bekerja selepas habis cuti bersalin.Ketika itu beliau sedang memerah susu di surau.

Ya, Mimilah sebenarnya yang mula-mula mencetuskan inspirasi untuk saya mencari maklumat berkaitan penyusuan susu ibu.

Ketika itu, saya baru hamil tiga bulan untuk anak no 3 saya dan sedang meneruskan pengajian peringkat master.

Selepas itu, bermulalah misi saya mencari maklumat untuk penyusuan susu ibu terutama untuk ibu-ibu yang bekerja seperti saya.

Alhamdulillah, dengan kemudahan teknologi maklumat terkini, pencarian saya menjadi mudah. Dengan menaip perkataan ‘breastfeeding’ di carian google atau yahoo, akan terkeluarlah beribu-ribu laman berkaitan tajuk yang dicari itu.

Laman web berkaitan penyusuan susu ibu yang dikelolakan oleh ibu-ibu menyusu di Malaysia juga banyak membantu saya untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan.

Barulah saya menyedari sebenarnya ramai ibu bekerja yang telah berjaya menyusukan anak mereka secara ekslusif sekurang-kurangnya 6 bulan. Semangat saya semakin membara untuk menyusukan anak secara ekslusif selepas bersalin.

Persiapan pertama saya semasa mengandung lagi adalah untuk mendapatkan alat mengepam susu yang efisien. Saya pernah mendapatkan alat mengepam susu yang biasa dijual di pasaraya tetapi ia hanya bertahan untuk beberapa bulan dan penghasilan susu yang tidak memuaskan.

Selepas melayari internet, baharulah saya menyedari rupanya pemilihan alat mengepam susu yang baik dan yang mengikuti rentak penyusuan bayi adalah yang paling efisien untuk memastikan pengeluaran susu tidak berkurangan.Alat mengepam pertama yang saya dapatkan adalah yang manual yang agak mudah digunakan. Walaupun harganya agak mahal tetapi ia banyak berjasa kepada saya.


sumber

Alat itu menjadi kawan baik saya selama beberapa bulan.

Semasa di dalam pantang lagi saya sudah mula mengepam dan menyimpan stok susu sebagai bekalan selepas saya mula bekerja nanti.

Memandangkan bidang pengajian master saya tidak membenarkan saya mengambil cuti bersalin seperti yang telah diwartakan oleh kerajaan, saya telah kembali bekerja selepas sebulan bersalin. Jika dibandingkan dengan kawan-kawan saya yang lain, maka saya dikira bernasib baik kerana diberi pelepasan selama sebulan oleh pensyarah saya tanpa perlu untuk memanjangkan tempoh pengajian saya. Ada di antara sahabat saya yang hanya dapat bercuti selama dua minggu sahaja walaupun selepas bersalin secara pembedahan. Hmm…kadang-kadang memang terasa diskriminasi wanita di dalam perkara seperti ini.

Saya terpaksa membawa kereta untuk ke tempat kerja yang mengambil masa lebih satu jam melalui lebuhraya dan terpaksa melalui kesesakan jalanraya yang tidak putus-putus.

Saya terus mengepam menggunakan pam tersebut di tempat kerja sekurang-kurangnya 3 kali sehari untuk memastikan penghasilan susu tidak terhenti.

Penat?...memang terasa…. Perjalanan yang mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam melalui lebuhraya memang memenatkan…fizikal dan mental. Tidak jarang juga saya terpaksa berhenti di hentian rehat untuk melelapkan mata kerana kelopak mata ini tidak terdaya untuk dibuka.

Saya selalu terfikir “ apalah yang aku boleh buat untuk menambahkan produktiviti hidup ni semasa memandu.Nak membaca buku pun tak boleh”

Alhamdulillah, selama pencarian saya di dalam dunia maya, tiba-tiba saya terbaca testimoni ibu-ibu yang menyusu dari luar negara di mana mereka boleh mengepam semasa memandu.

Saya terfikir “ biar betul mat salleh ni, takkan masa bawa kereta pun boleh pam susu”

Sejak itu saya mula mencari dan mencari sehinggalah saya berjumpa dengan sejenis alat menyusu automatik yang boleh digunakan di dalam kereta.

Saya sangat gembira. “Ha, inilah yang saya cari. Tapi macam mana pula boleh memandu sedangkan tangan perlu memegang botol semasa mengepam”. Persoalan terus menerjah benak saya.

Saya terus mencari dan melayari alam maya untuk mendapatkan jawaban.

“Oh…. diaorang ni, pakai ‘hands-free bra” yang boleh ‘memegang botol semasa tangan kita memegang stering kereta. Akhirnya saya berjumpa dengan apa yang saya cari.


Dan saya juga bernasib baik kerana pam automatic itu beserta dengan bra istimewa itu ada dijual di Malaysia.


Saya pun dengan tidak berlengah lagi terus menelefon kedai yang mengedarkan barang tersebut dan membuat temujanji untuk mencuba alatan tersebut.

Saya dilayan dengan baik oleh jurujual di kedai tersebut dan setelah mencuba pam itu dan bra istimewa tersebut, saya terus membelinya.

Harganya memang mahal, duit simpanan hampir habis tetapi saya kuatkan semangat. Saya berfikir, tiada duit yang boleh membayar harga kebaikan susu ibu untuk anak saya. Saya juga berkira-kira untuk menambah bilangan anak lagi dan pastinya alat ini boleh digunakan untuk anak saya yang akan datang.

Maka bermulalah perjalanan saya mengepam sambil memandu.

Alatan itu boleh mengepam kedua-dua belah payu dara dan disambungkan ke kereta menggunakan plug khas.Botolnya disambung kepada pam itu dengan menggunakan tiub yang panjang. Bra itu pula mempunyai merupakan tiub bra dengan zip di depan dan mempunyai lubang di tempat payudara. Jadi saya hanya perlu memastikan botol itu disambung dengan tiub yang akan disambung dengan alat mengepam dan muncung botol itu pula akan diletakkan di dalam lubang pada bra. Botol itu akan berdiri dengan sendirinya dan tidak akan jatuh.

Selepas itu saya hanya perlu menghidupkan suis pam dan secara automatik tanpa saya perlu memegang apa-apa dan saya boleh terus memandu.

Mungkin ada yang bertanya… orang lain tak nampak ke? Alhamdulillah, dengan tudung yang saya pakai , orang tidak akan tahu apa yang sedang berlaku kepada saya, kecualilah jika ada yang betul-betul membelek di sebalilk tudung saya itu. Saya berasa selamat dan setakat ini ia juga tidak mengganggu pemanduan saya itu.

Bila saya menceritakan kepada kawan-kawan saya tentang ‘kerja’ saya semasa memandu, mereka selalu terkejut.”Biar betul, macam mana pula boleh bawa kereta masa nak pam susu,,,ish, ish musykil betul lah kau ni”

“Tak kena tangkap polis ke?”

“boleh focus ke masa memandu”?

Ya, ramai yang masih tidak dapat membayangkan bagaimana ia dilakukan.

Tapi percayalah…ia adalah yang boleh dilakukan dan ia tidak mustahil.

Saya berjaya menyimpan susu untuk anak saya dan saya juga dapat menjimatkan masa untuk mengepam di pejabat kerana masa pemanduan pergi dan balik saya gunakan untuk mengepam.

Dan saya masih menggunakan pam tersebut sekarang untuk anak keempat saya.

Jadi, sebenarnya penyusuan susu ibu secara ekslusif untuk ibu-ibu bekerja memang boleh dilakukan.

Ia tidak semudah yang diharapkan tetapi ia juga tidak mustahil.

Dengan teknologi terkini, kita lebih bernasib baik jika ingin dibandingkan dengan mereka yang terdahulu.

Yang penting, kuatkan semangat dan tidak mudah putus asa.

Ingatlah bahawa susu ibu adalah susu yang terbaik buat anak kita.

Jadi , apa lagi yang anda fikirkan?

Ummuzulfa

3 MAC 2008

Nota :


Minggu Penyusuan susu ibu sedunia bermula hari ini sehingga 7 Ogos 2008, WABA (world Alliance of Breastfeeding Action) menyeru semua pihak agak agar memperkukuhkan sokongan terhadap para ibu yang sentiasa berusaha gigih untuk mencapai piawaian emas dalam pemakanan bayi : iaitu menyusukan anak mereka secara eksklusif selama 6 bulan pertama dan meneruskannya bersama makanan pelengkap sehingga 2 tahun atau lebih.

bantulah seorang ibu untuk memberikan peluang keemasan kepada anaknya dengan penyusuan susu ibu, Kita semua adalah juara.

7 comments:

NuRuL DhiA said...

Tahniah, kerana berjaya BF secara eksklusif. Zaman dah berubah dan semakin maju. Ibu yg bekerja pn boleh terus BF hingga termampu. :)

muqayankabut said...

Assalamualaikum,

Apa Khabar, saya miqdad dari kelantan,

Isteri saya sedang menunggu due datenya. jadi saya rasa perlu untuk membeli alat ini.(maaf tak tau nak sebut)

Saya nak bertanya mengenai alat yg digunakan untuk menyimpan susu boleh beli di mana? Brp harga?

Ummuzulfa said...

Terima kasih kepada yang sudi singgah.

Nurul dhia : kemajuan zaman memang memungkinkan ibu-ibu bekerjaya terus menyusukan anaknya.

Muqay : saya ada hantar email, harap ia membantu.

Letting the time pass me by said...

Selamat Menyambut Hari Merdeka

Satria and Srikandi Merdeka..

http://www.youtube.com/watch?v=b0Vjb8UlDus

Have a nice day...

Anonymous said...

Assalamualaikum..
nk tanya..alat tu medela freestyle tu ke? baru jumpa info pasal yg tu..harga bley tahan tp menyimpan dari sekarang la..kan kan ;)

ain said...

Boleh layari laman blog ain
QasehBonda specialize in bringing together a unique blend of products to help moms.
From useful products to help make pregnancy and breastfeeding more successful to select lines of reasonably original breastpumps ranges and priced boutique children's products, you will find it here.

http://www.qasehhatibonda.blogspot.com

Ned said...

Salam,

Saya merupakan salah seorg ibu yg menyusukan anak scr exclusive. Alhamdulillah, sekarang baby saya dah 6 bulan. Saya berminat nak beli breastpump yg macam akak cerita ni. Boleh saya tahu mana nak dptkan breastpump tu beserta branya sekali? Berapa harganya?

TQ.

Free Counters
Petco Promotion Code