Zaman-zaman filem Hindustan saya telah lama berlalu....
Walaupun saya menonton filem-filem Hindi, namun tiadalah sampai ke tahap peminat setia, tegar atau gila.
Itupun semasa di zaman persekolahan dulu, ada juga geng-geng peminat hindustan ini yang pastimya tidak akan 'miss' melihat filem-filem kegemaran mereka setiap hujung minggu, namun saya tidak salah seorang dari mereka.
Namun, nama-nama hebat hindustan seperti Amitabh Bachan (betul ke eja ni?), adik-beradik Kapoor (yang lama-lama lah...yang muda-muda saya tak berapa kenal), dan segilintir keturunan Khan ada juga di dalam perbendaharaan kamus saya.
Image via Wikipedia
Saya jarang dapat menghayati filem-filem hindustan ini, terutama yang ultra-moden dan berpakaian ala-ala peserta 'survivor' yang bagi saya sangat merapu dan mengarut.
Namun, entah mengapa, di celah kesibukan saya menyediakan roti untuk santapan keluarga di hujung minggu, tiba-tiba saya terpaku melihat satu filem hindi yang sangat lain dari yang lain.
Lakonan hebat Amitabh Bachan dengan Rani Mu.... (lupa ejaannya) ini membuat saya terpegun dan berulang-alik ke depan TV dan ke dapur.
Perjuangan seorang guru kepada seorang murid OKU adalah intipati cerita ini.
Bagaimana seorang guru yang tidak jemu-jemu memberi galakan, tunjuk ajar, semangat dan keyakinan diri kepada anak muridnya yang istimewa.
Beliaulah yang mempunyai keyakinan penuh kepada keupayaan anak murid istimewanya itu.
Anak muridnya yang buta dan pekak juga bisu itu, bukan satu beban tugas yang mudah baginya.
Bagaimana beliau juga hampir tewas dengan 'keganasan' dan kedegilan anak muridnya yang memberontak dengan caranya yang tersendiri, bangkit kembali dengan semangat yang jitu dan memberikan sepenuh pengorbanan kepada anak muridnya itu.
Bila akhirnya anak muridnya itu berjaya menggenggam segulung ijazah, gurunya pula telah 'lemas' di dalam dunianya sendiri, diselubungi penyakit Alzheimers.
Dan seperti roda yang sentiasa berpusing, anak muridnya pula yang tanpa jemu berusaha untuk mengembalikan ingatan guru kesayangannya itu.
Image via Wikipedia
Tanpa lagu mendayu-dayu....
Tanpa tarian gulingan di atas batu...
Tanpa aksi bercumbu-cumbu...
Cerita ini berjaya lari dari sinonim filem-filem hindustan lain dan wajar dihayati untuk diambil pengiktibaran.
Alangkah bertuahnya anak murid yang mempunyai guru sepertinya.
Dan alangkah bertuahnya guru yang mempunyai anak murid sepertinya juga.
Saling melengkapi untuk mengejar erti kejayaan yang lebih luas.
Guru ibarat lilin.....mungkin ada benarnya kerana di dalam dunia gelap dan sepi seorang insan, gurunyalah yang memimpinnya mencari cahaya.
Image via Wikipedia
Saya terfikir....
Tiada sebab saya dan ramai lagi ibu-bapa cum guru di luar sana untuk putus asa dengan anak-anak kita yang sihat lagi normal ini.
Tiada sebab untuk para guru di luar sana untuk merasa jemu membimbing dan memberi cahaya kepada anak murid yang pelbagai ragam ini.
Tiada sebab untuk para pendakwah berpaling dari mad'u yang terkadang membuat kita terpaksa menahan sabar di tahap maksimum.
Kerana kehidupan ini adalah suatu perjuangan....yang tiada noktahnya
Kerana perjuangan ini , pangkalnya sudah jauh ditinggalkan namun hujungnya tiada pula kepastian.
Buat pertama kali, saya sangat puas melihat satu filem hindi.
Allahu'alam
Ummuzulfa
5 Okt 2009
2 comments:
salam
saya percaya versi asal cerita ini adalah english movie. dr boleh google "helen keller" dan lihat bagaimana seorang yg terhad pancainderanya boleh bertutur dengan menggunakan deria sentuhnya.
*versi hindustan ni macam tipu2 sikit ;-)
I would guess so...
but I didnt get to know about the english movie.
my tv-time is very limited.
anyhow, whatever version it is, as long as wet get the lesson behind it, it should be OK
Post a Comment