Friday, December 5, 2008

TOK BADUSAH DALAM KENANGAN.

"Bang, tahun ini hari raya pertama dan kedua nak jalan-jalan rumah saudara-mara dan sahabat handai kat sini dulu lah...hari ketiga baru balik kampung abang ye " saya membuka bicara.

Suami hanya tersenyum.

Ya, giliran tahun ini adalah beraya di kampung saya dulu yang terletak tidak jauh dari kediaman kami.

Selalunya, walaupun giliran berhari raya di kampung saya tetapi saya tetap akan mengutamakan untuk pulang ke kampung suami yang terletak di utara tanah air.
Kadang kadang petang hari raya pertama atau pagi hari raya kedua kami sudah bertolak.

Bukan apa, mengenangkan yang kami jarang-jarang pulang ke kampung suami kerana kesibukan dan juga meraikan hakikat yang suami adalah anak sulung lelaki bagi keluarga mertua.Sudah tentu tanggungjawab beliau perlu diberi perhatian.
Jadi saya selalu sahaja berkompromi dengan suami untuk lebih lama berada di rumah mertua sehingga habis cuti.

Namun setelah beberapa lama, saya menyedari walaupun saudara mara saya tinggal berdekatan tetapi kami juga jarang berjumpa.

Kami hanya berjumpa apabila ada majlis keraian seperti kenduri, hari raya atau kematian.

Justeru saya tegar untuk menghabiskan dua hari pertama di kampung belah ibu dan arwah abah.

Ditambah lagi saya kepingin benar untuk berjumpa dengan kawan-kawan lama arwah abah yang sangat rapat dengan keluarga kami.
Mereka bukan sahaja pelanggan tetap di "kedai runcit kampung" arwah abah tetapi lebih kepada saudara.

Kemurahan hati abah yang sentiasa meraikan kawan-kawan untuk minum 'kawa' (minum petang) di kedai kami juga dengan kerajinan ibu yang sentiasa beridea bernas untuk hidangan minum petang telah membuat mereka sangat rapat dengan arwah abah, ibu, dan kami adik-beradik terutama saya sebagai anak sulung dan adik lelaki kedua dan ketiga.

Cikgu Rosli, Tok Manaf, Tok Badusah, Tok Minhat, Tok Mat Noor...adalah antara mereka yang dekat dengan keluarga kami.

Mereka menganggap kami sebagai anak dan cucu mereka sendiri.


Kami sekeluarga termasuk ibu dan adik-adik menziarahi Tok Badusah di rumahnya lewat petang hari raya kedua.

Tok Badusah masih tinggal di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah anaknya.

Tok Badusah sudah uzur, mata sudah tidak berapa nampak tetapi ingatan dan pendengaran masih tajam.

Maklum sahaja umur beliau menjangkau 94 tahun !

Tok Badusah masih mengenali ibu dan kami adik-beradik dan boleh bercerita tentang arwah abah.

Ada beberapa orang anak-anaknya ada dirumah ketika itu dan mereka sangat gembira dengan kehadiran kami sekeluarga.






Nama Tok Badusah juga sinonim dengan kelas pengajian yang diadakan di suraunya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.




Kelas pengajian yang dijalankan setiap minggu atau dua minggu sekali itu dikendalikan oleh Pak Lang kami dan kelas tersebut adalah kelas wajib bagi kami seperti mana yang diarahkan oleh arwah abah.

Pada masa tersebut kami semua masih kecil dan masing-masing agak liat untuk pergi tetapi arwah abah akan memastikan kami hadir di situ.

Dan yang paling menyeronokkan adalah waktu jamuan ringan selepas kelas...:)

Kenangan itu masih segar di ingatan saya.....

Saya merasa sangat puas hati dapat berjumpa dengan kawan-kawan "veteran" keluarga kami.Semoga dengan aktiviti ziarah-menziarahi dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah kami.


Namun, tiada yang kekal di dunia ini.

Awal November lalu, kami menerima berita Tok Badusah telah menghembuskan nafas terakhir selepas subuh suatu pagi Jumaat.
Kami tidak sempat untuk menziarahi beliau untuk kali terakhir kerana hanya mendapat tahu selepas maghrib.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah Tok Badusah dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang soleh.


AlFatihah.......



Ummuzulfa
5 Disember 2008

1 comment:

sarah said...

teringt zaman kecik2 dulu.huhu

akak,tryla tgk blog junior sarah ni.sgt menarik lg berinformasi..
www.naufa-pai.blogspot.com

Free Counters
Petco Promotion Code