Thursday, October 16, 2008

MENYELAMI KEHIDUPAN DUNIA TANPA SUAMI..(tribut untuk semua keluarga mangsa tahanan ISA)



"Ummi, fairuz sakit perut lah", anak ketiga saya mengadu sambil jarinya tidak keluar dari mulut.


"Ummi, peninglah", kakaknya pula mengadu.

"Wekk....alamak Zulfa muntahlah, habis baju ummi", insiden yang melengkapkan pagi saya.


Itu adalah antara cabaran yang kami hadapi untuk menempuh perjalanan hampir 2 jam ke Jempol.

Selepas saya menjadi pembaca berkala untuk blog merah hitam, saya sangat terkesan dengan apa yang terjadi kepada isteri-isteri tahanan ISA.
Bukan saya tidak pernah membaca di akhbar-akhbar alternatif tetapi bila mendapat maklumat first hand dari mereka yang melalui kehidupan 'dunia tanpa suami' secara paksaan, saya seolah-seolah dapat merasakan kesengsaraan mereka.

Membesarkan anak-anak tanpa suami dan bapa mereka, sangat memberi tekanan kepada mana-mana wanita.
Ditambah lagi dengan ketidaktahuan apakah kesalahan mereka, apakah yang terjadi kepada mereka di dalam tahanan dan bilakah mereka dapat dibebaskan untuk kembali hidup bersama keluarga, satu penantian yang sangat menyeksakan.

Bagi saya secara peribadi, bila suami saya tiada untuk pergi outstation pun (itupun sangat jarang), saya sudah merasakan 'tempang' sebelah kaki ditambah dengan kerenah anak-anak yang kadang-kadang mampu 'menukar' identiti kita kepada dinosour yang ganas.

Tidak sabar menghitung hari untuk menunggu kepulangan suami.

Inikan pula 'pergi' yang sudah bertahun-tahun, satu ketidakpastian yang tidak manusiawi yang meletakkan nilai manusia ke tahap yang paling rendah.

Justeru, bila blog Puan Laila itu memaparkan kehidupan isteri-isteri dan anak-anak tahanan tanpa pembelaan yang sewajarnya, saya menjadi terpanggil untuk membantu.

Ditambah lagi di dalam bulan Ramadhan yang digalakkan untuk kita umat Islam untuk sama-sama membantu sesama kita.

Entry ini menemukan saya dengan Puan Halimah yang menetap di Bahau dan suami pula berjaya mencari 'contact' untuk kami menziarahi beliau dan menyumbang sedikit bantuan.


Mulanya saya hanya ingin memasukkan duit ke dalam akaun bank berkaitan tetapi suami menyarankan kami pergi menziarahi keluarga tersebut.

Kemudian saya meraikan ajakan suami saya kerana kalau tidak, tiada pula wanita di dalam 'rombongan' itu nanti kerana suami hanya pergi dengan kawannnya.

Justeru, dengan sedikit kelebihan rezeki saya dan rakan -rakan yang turut sama menyumbang, kami membeli sedikit keperluan harian terutama dengan kedatangan syawal yang tidak berapa lama selepas itu.

Semua anak saya bawa bersama, walau saya tahu dugaan pasti banyak....bulan Ramadhan dengan cuaca yang panas, keadaan saya yang agak 'lembik' kebelakangan ini dan perjalanan yang memang berliku secara realitinya.

Dengan harapan agar mereka merasa bersyukur dengan apa yang mereka ada sekarang.
Dengan harapan menyedarkan mereka bahawa ada antara kita yang menjalani kehidupan yang penuh dugaan.

Jadi, episod muntah di dalam kereta, rengekan sakit kepala dan sakit perut memang termasuk di dalam agenda tak rasmi saya.

Kami sampai sebelum zuhur.

Rumah Puan Halimah sebenarnya adalah sebuah rumah kedai tempat beliau dan anak-anaknya menginap, merangkap tempat beliau mengusahakan perniagaan air soyanya.

Keadaan kedai merangkap rumah beliau agak uzur dengan atap yang bocor dan ruang depan cuma dilengkapi perabot serba sederhana.

Kami berbual-bual dengan beliau.



Ternyata beliau seorang yang tabah, mendidik 8 anak keseorangan sejak beberapa tahun dahulu.
Anak bongsunya tidak pernah mendapat kasih-sayang ayahnya secara terus, cuma sekali-kali berjumpa dengan ayahnya di sebalik jeriji besi atau dinding kaca di Kem Tahanan.

'Tapi akak tetap memupuk perasaan kasih dan sayang anak-anak terhadap bapa diaorang", Kak Halimah berkongsi rasa, walaupun tidak bersama, anak-anak tetap sayangkan ayah mereka.

Perjalanan yang bukan dekat dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit, sering membataskan keupayaan keluarga Kak Halimah untuk melawat suami beliau di Kem Tahanan di utara Perak.

2 anaknya sudah berkahwin, 2 pula belajar tahfiz di Kelantan dan 4 lagi masih bersekolah.

Dengan berniaga air soya yang dibuat sendiri yang sama -sama diusahakan dengan suaminya dulu, beliau berusaha tanpa lelah untuk mencari rezeki untuk keluarganya.

"Tapi sekarang badan akak dah tak berapa larat, jadi berapa yang mampu sahajalah yang akak boleh buat, jadi hasilnya pun sekadar itu sahajalah.." beliau bercerita.

" Akak buat seorang saje ke atau dengan anak-anak", perasaan ingin tahu saya membuat saya bertanya soalan tersebut.

"Sekarang akak dibantu oleh seorang kawan, ibu tunggal juga, suami dia dah meninggal dan ada anak 7 orang, dia pun orang susah juga, jadi kira akak tolong dia, dan dia tolong akaklah " beliau terus bercerita.

"aha...kakak tu pun susah juga, mungkin boleh bantu juga" kawan suami saya yang menjadi 'pemandu pelancong' kami mencelah.

Alhamdulillah.....dengan niat untuk membantu seorang, Allah buka peluang untuk kami untuk membantu seorang lagi pula.

Dan kebetulan, ada seorang hamba ALlah yang baru memberi fidyah kepada suami saya untuk diagihkan kepada mereka yang layak, justeru, ibu tunggal itupun kami raikan bersama, setelah dipanggil untuk bersama kami di rumah Kak Halimah.





Setelah berbual beberapa ketika, suami membuka bicara dengan menyatakan niat kami dan menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan barang-barang keperluan asas, termasuk juga hamper yang kami beli khusus untuk anak- anak beliau.




Bukan apa, beberapa hari sebelum itu, suami mendapat hamper dari syarikatnya dan anak-anak saya sangat 'excited' dan tidak puas-puas membelek hamper tersebut.
Tiba-tiba saya terfikir kalau anak saya pun (yang setiap tahun menerima hamper dari syarikat ayah mereka) merasa sangat teruja dengan pemberian tersebut , mesti anak-anak Kak Halimah akan merasa sangat-sangat gembira juga.

Bukankah menggembirakan kanak-kanak itu besar ganjarannya?

"Barang-barang ini banyak, nanti saya akan beri sedikit kepada pembantu saya ini, " kak Halimah tenang memberitahu.

Kami tersenyum.

Semoga Allah memberi ganjaran kepada beliau di atas kemurahan hatinya.

Setelah selesai, kami meminta diri untuk beransur kerana perjalanan pulang juga tidak kurang dugaannya.

Secara peribadi, perjumpaan saya dengan Kak Halimah sangat memberi makna kepada saya.

Dan saya merasakan 'tarbiyah' secara langsung kepada diri saya, hikmahnya saya menyahut pelawaan suami saya untuk turut serta di dalam ziarah tersebut.

Saya mendoakan beliau sentiasa tabah di dalam menghadapi dugaan yang sedang dialaminya dan saya pasti adanya ganjaran yang sedang menanti beliau di kemudian hari.

Saya juga sentiasa berdoa agar tidak diuji dengan sesuatu yang tidak mampu saya hadapinya.



Di celah-celah itu saya sering terfikir sendiri, masih ramai lagi ibu-ibu tinggal yang dipisahkan dari suami mereka secara paksa seumpama Kak Halimah ini.

Adakah manusia yang membantu mereka?
Siapakah yang memberi sokongan moral dan emosi kepada mereka?
Adakah manusia prihatin yang memantau pelajaran dan perkembangan anak-anak mereka?

Sudah terlepaskah urusan fardhu kifayah umat Islam di dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan - fizikal, spritual dan emosi?

Saya terfikir lagi, ramai antara kita (termasuk penulis) sering 'merungut' gaji tak cukup banyak, kereta tak cukup besar, rumah tak cukup luas dan etc....tetapi kadang-kadang kita terlepas pandang keperluan saudara di sekeliling kita.

Adakah kita terlalu sibuk dengan keluarga kita, kerjaya dan SKT sendiri menjadikan kita seorang yang 'self-centred' dan tidak mustahil , kalau tidak berhati-hati akan termasuk di dalam ideologi akhir zaman yang melanda sebahagian besar umat Islam, ideologi 'AKU TIDAK PEDULISME" (meminjam istilah abu saif ) yang boleh membawa kepada keruntuhan institusi masyarakat umat Islam.

Semoga Allah menjauhkan kita semua dari fitnah akhir zaman ini.



Allahu'alam


Ummuzulfa
20 Oktober 2008

3 comments:

Nafisah Abdul Hamid said...

Salam
Akak, maaf menumpang di sini. Akak kenal tak dengan Dr.Elvy Suhana Mohd. Ramli. Di department anatomy, saya lost contact dgn dia. maaf menumpang di sini.syukran.

kopiah said...

Akak kenal, she was my roommate kat sekolah dulu tapi dah lama sangat dah lost contact, dengar dia kat UKM.
Sorry akak tak ada contact number dia.

Nafisah said...

oh ye ke akak, :( terima kasih banyak-banyak ye. akak, seandainya akak terjumpa Kak long elvy (panggilan saya ke dia), saya mohon dgn serendahan hati, dapat di email ke saya nafisah_129@yahoo.com.tq

Free Counters
Petco Promotion Code