Monday, June 23, 2008

KEJAHILAN MEMBAWA KEBUNTUAN





Tazkirah dari Prof. Dr Zulkifli Yusof hari itu memang menyentuh hati saya. Tazkirah beliau setiap hari Jumaat di radio IKIM.fm memang jarang saya tinggalkan. Hari ini adalah berkaitan dengan air, tafsiran dari Al-Quran dan pada hari tersebut adalah berkaitan dengan air susu ibu. Beliau membacakan beberapa potong ayat Al-Quran tentang kepentingan pemberian susu ibu kepada bayi yang baru lahir dan galakan Allah tentang penyusuan susu ibu paling kurang untuk 21 bulan (berdasarkan tafsiran yang telah dibincangkan) dan sebaik-baiknya cukup dua tahun (24 bulan)






Hati saya bergetar…. banyak ilmu yang kurang di dada saya sebenarnya.. dan atas kekurangan ilmu itulah saya mengambil ringan tentang penyusuan susu ibu untuk anak pertama dan kedua saya.





Memang saya mengetahui tentang kebaikan susu ibu, apakan tidak, saya belajar di bidang perubatan dan segala fakta dan kajian berkaitan memang tidak dapat dinafikan…tetapi kenapa ‘kesedaran’ itu kurang ? mungkin ada yang bertanya…..



Apa yang saya boleh perkatakan adalah kerana tekanan kerja dan persekitaran yang tidak membantu adalah antara sebabnya tetapi bagi saya ilmu adalah faktor yang sangat mempengaruhi.




Saya mengandung anak pertama semasa tahun akhir pengajian dan bersalin 3 bulan sebelum mula bekerja sebagai pegawai perubatan pelatih. Saya tahu adalah baik untuk saya menyusukan bayi dengan susu jadi semasa dalam pantang saya menyusukan Fatin dengan susu ibu.



Saya tidak tahu yang kita boleh membuat stok susu ibu semasa dalam pantang, cuba untuk praktis memberi susu perahan semasa di dalam pantang dan saya tidak tahu tentang adanya alat perahan susu yang efektif untuk memerah susu… hmm..banyak sebenarnya yang tidak diajar di dalam universiti tentang susu ibu ini.







Jadi , semasa mula bekerja, saya tidak membuat apa-apa persedian yang sepatutnya jika saya ingin menyusukan Fatin dengan susu ibu secara eksklusif, dan yang paling menyedihkan ( bagi saya sekarang, bukan waktu itu) adalah saya tidak ada sedikit pun perasaan bersalah memberinya susu formula tanpa berusaha dengan lebih gigih untuk memberinya susu ibu.






Pada waktu tersebut, pemberian susu formula adalah sesuatu yang ‘natural’ terutama bagi ibu-ibu yang bekerja, jadi apa yang saya buat pada waktu itu adalah perkara yang biasa dan tidak ada apa yang patut dirisaukan. Sebenarnya, saya mengambil ringan persoalan tersebut kerana ‘TIDAK ADA ILMU’







Bekerja sebagai pegawai perubatan pelatih memang sangat mencabar… bermula seawal jam 630 pagi dan mungkin akan berakhir jam 11 malam esoknya sekiranya ‘on-call’ telah memaksa saya membuat keputusan menghantar Fatin ke kampung untuk dijaga oleh ibu saya. Jadi peluang saya menyusukan Fatin secara terus memang terbatas.


Walaupun kampung saya hanya 30-40 minit perjalanan dari tempat kerja, tetapi saya tidak dapat pulang setiap hari kerana bebanan kerja yang memerlukan saya bermalam di hospital.

Lama-kelamaan Fatin tidak mahu menyusu terus dari saya walaupun saya cuba memberinya sekiranya saya pulang ke rumah ibu.Fatin akan menangis tidak mahu menyusu dari saya sambil melentuk-lentukkan badannya walaupun pengeluaran susu masih banyak.


Jika difikirkan kembali, saya merasakan bahawa Fatin telah keliru puting (nipple confuse) kerana telah lama menghisap dengan putting tiruan yang tidak memerlukan lidah dan bibirnya ‘bekerja’ jika hendak dibandingkan dengan menghisap dari putting payu dara.
Saya memang tiada idea langsung pada masa itu tentang perkara tersebut… isk…mekanisma bayi menyusu dari payu dara tidak termasuk di dalam silibus masa pengajian dulu.





Lantaran itu, saya hanya mampu menyusukan Fatin dengan susu ibu cuma untuk 2-3 bulan pertama sahaja.
Tetapi pada masa itu, saya masih tidak mempunyai azam yang kuat untuk memperbaiki skil saya untuk anak yang akan datang.
Saya berkata pada diri sendiri “ nak buat macam mana, dia dah taknak minum susu ibu, bagi aje lah susu botol… buat apa nak risau” .Begitulah kejahilan saya pada masa tersebut.

Dan kejahilan tersebut , masih berulang untuk anak kedua saya. Iman dilahirkan bila Fatin berumur 1 tahun 7 bulan. Walaupun saya tidak bekerja di hospital lagi pada masa tersebut, tetapi saya tidak mengambil peluang dengan bebanan kerja yang tidak seteruk dulu untuk cuba menyusukan Iman dengan lebih serius.
Kenapa ye?... kerana kekurangan ilmu…..

Saya bekerja ikut waktu pejabat kerana bekerja di klinik kesihatan , dan tengahari saya akan pulang ke rumah untuk makan tengahari. Walaupun agak sibuk melihat pesakit sepanjang berada di klinik, tapi saya rasa waktu untuk saya mengepam susu boleh diluangkan sekiranya saya tahu caranya dan menggunakan pam yang sesuai. Malangnya saya tiada pengetahuan yang cukup pada waktu itu.

Iman pun menghadapi masalah yang sama dengan Fatin, keliru puting… saya tidak tahu dengan kewujudan puting botol yang telah digredkan dengan umur bayi supaya mengurangkan risiko bayi boleh keliru putting.
Jadi, Iman pun hanya menyusu susu ibu secara eksklusif untuk 2 bulan pertama dan campur dengan susu formula sampai berumur 4 bulan. Iman berhenti meyusu badan sepenuhnya bila berumur 4 bulan.

Bila difikirkan kembali , saya sebenarnya mempunyai peluang yang besar untuk menyusukan anak secara eksklusif tetapi atas dasar kekurangan ilmu, maka peluang itu terlepas begitu sahaja.


Saya terpaksa menunggu 4 tahun pula untuk berpeluang menyusukan anak ketiga saya dan pada waktu tersebut, saya mempunyai lebih banyak informasi dan pengetahuan untuk menyusukan anak dengan lebih lama.

Kesimpulannya, motivasi terpenting untuk kita membuat apa-apa sekalipun mesti dimulakan dengan ilmu. Seperti kata-kata yang biasa kita dengar “ information is power”.

Satu ilmu yang saya dapat dari tazkirah Prof Zulkifli ialah betapa pentingnya pemberian susu ibu ini kepada anak-anak kita sehingga disebut secara khusus di dalam Al-Quran sebanyak 3 kali. Memetik inti dari kata-kata Prof Zulkifli “ tak dapat tidak, memang susu ibu ini sepatutnya diberikan walaupun tidak sampai ke tahap wajib tetapi sangat digalakkan. Al-Quran memberi panduan dan fleksibiliti tentang berapa lama untuk menyusukan bayi dengan susu ibu bergantung kepada keadaan ibu, tetapi tidak pula disebut dibolehkan untuk tidak menyusukan anak sekiranya ada kepayahan.’





Jadi, dengan motivasi yang kuat dari ayat Al-Quran ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk cuba menyusukan anak kita dengan susu ibu seberapa lama yang boleh.

SUSUKANLAH ANAK ANDA…..MULAKAN DENGAN MENDAPATKAN ILMU YANG BETUL…




Allahu'alam

Ummuzulfa
(artikel ini ditulis pada 29 Jan 2008)


Disclaimer : gambar - gambar peralatan menyusu ini adalah hiasan semata-mata. Penulis tidak ada sebarang kepentingan peribadi dengan mana-mana jenama.



Friday, June 13, 2008

ANAK MASTER 13 JUN 2004


Fairuz Safiyyah nama diberi....anak ketiga kami.

Fairuz mempunyai keistimewaan sendiri. Saya mengandungkan Fairuz semasa di dalam pengajian master yang menuntut komitment yang tinggi.

"Nature" pengajian saya yang juga sebenarnya in-service training memang agak memenatkan. Ditambah lagi saya berulang dari Seremban ke PJ menggunakan kenderaan perkhidmatan awam.

Alhamdulillah, ada bas yang membawa penumpang ke PJ terus dari Seremban tanpa melalui KL maka waktu perjalanan mungkin tidak berapa panjang.

Walaupun begitu, terkadang, ada yang buat tidak nampak atau sebenarnya tidak menyedari yang saya sedang hamil dan pernah sekali saya terpaksa berdiri hampir sepanjang masa perjalanan saya dari PJ ke Seremban. Ini boleh terjadi pada hari Sabtu atau sehari sebelum cuti am kerana ramai orang dari PJ yang ingin pulang ke Seremban menaiki bas dan kadang-kala tempat duduk sudah penuh.


Alhamdulillah, saya tidak menghadapi masalah yang besar sepanjang hamilkan Fairuz.

Proses bersalin juga tidak lama.

Sakit yang kuat tiba sejurus sebelum maghrib dan tiba waktu Isyak, saya sudah keluar dari bilik bersalin.

Dan Fairuz disusukan dengan susu ibu.

Dengan berbekalkan 'kegagalan' mengekalkan penyusuan susu ibu untuk anak pertama dan kedua, saya lebih bersedia dari segi ilmu untuk menyusukan Fairuz seberapa lama yang saya boleh.


Bermula dengan Fairuz juga saya berazam untuk membuat stok susu ibu.

Justeru saya tidak terkilan untuk membeli alatan mengepam susu yang agak mahal yang mencecah ribuan ringgit, kerana saya tahu ia boleh digunakan untuk anak-anak yang akan datang atau sekurang-kurangnya mem'faraid'kannya kepada deretan adik dan anak perempuan saya kelak. :D


Fairuz juga istimewa kerana saya hanya berpantang selama sebulan sahaja selepas melahirkannya.

Pengajian saya tidak memberi saya kelayakan untuk saya mendapat cuti bersalin 60 hari. Dapat cuti 30 hari itupun kira sudah dikira bernasib baik. Ada dikalangan kawan saya hanya dapat berpantang 2-3 minggu sahaja, itupun di atas budi bicara pensyarah.

Fairuz juga satu-satunya anak yang mempunyai tabiat menghisap jari. Bukan ibu jari tetapi jari telunjuk dan jari hantunya serentak. Tabiat yang tidak diajar itu datang secara sendiri semenjak Fairuz berumur 4-5 bulan.


Mungkin itu sebabnya, Fairuz kurang menangis di waktu kecilnya.


Tabiat itu kekal hingga sekarang, dan kebelakangan ini, tabiat itu semakin kerap dilakukannya semenjak Fairuz bersekolah tadika kerana malu untuk menghisap jari di sekolah.



Saya pernah bertanya " Apa yang sedap sangat Fairuz hisap jari tu?, ada air apa kat jari tu?"
Dengan naifnya beliau berkata " ada air liur"



Fairuz seorang anak yang sangat petah bercakap, tanpa pelat yang ketara. Semenjak berumur 3 tahun, beliau boleh bercakap macam orang dewasa.

Seringkali kami sekeluarga rasa terhibur dengan keletahnya dan selalulah terkeluar ayat-ayat 'power' yang kami tidak terfikir.

Pernah sekali, pada malam hari raya, beliau nampak ayahnya sedang menggosok baju melayu, dengan selambanya Fairuz bertanya, "Ayah, kenapa ayah gosok baju ni, ayah nak kawin lagi ye?"

Terbahak-bahak kami suami isteri tergelak.

Saya cuba bertanya lagi..."ayah nak kawin dengan siapa, Fairuz?'

"Dengan umilah " tanpa teragak Fairuz menjawab.

Fuhh....lega hati umi ;D



Fairuz juga rapat dengan ayahnya.

Mungkin saya tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepadanya kerana saya sibuk dengan pengajian saya.

Di tahun akhir, sebelum peperiksaan akhir, saya menyewa di bilik asrama pelajar undergrad dan hanya pulang sekali atau 2 kali seminggu selama sebulan lebih.

Semasa habis pengajian master, saya mengikuti misi kemanusiaan ke Yogjakarta dan Lubnan.

Dan Fairuz tinggal dan tidur dengan ayahnya walaupun ada pembantu dan nenek yang tinggal bersama.

Justeru, Fairuz selalu 'bising' kalau ayahnya ingin keluar malam atas sesuatu hal.

"Apalah ayah ni, asyik meeting je, Fairuz tak sukalah ayah keluar-keluar ni. Fairuz suka ayah duduk rumah je"


Saya menghantarnya ke sekolah tadika untuk menghilangkan kebosannya berada di rumah semasa kami bekerja dan kakaknya bersekolah.

Terkadang Fairuz suka mengacau adiknya dan menyebabkan neneknya pening kepala.

Hari pertama persekolahan berlalu dengan baik, cuma beliau tidak mahu pulang bila dijemput oleh bibiknya kerana seronok dapat bermain di sekolah.

Sengaja saya menghantarnya bersekolah selang sehari (sekolah tersebut memberi option kepada kanak-kanak bawah 5 tahun).

Seringkali Fairuz komplen kenapa kawan-kawan yang lain bersekolah tetapi dia kena bercuti...

Walaupun begitu, Fairuz sudah boleh membaca sedikit sebanyak berkat tunjuk ajar gurunya.



Ummi berdoa Fairuz menjadi anak yang solehah dan berperibadi mulia.

Menjadi Muslim yang cemerlang dunia akhirat.

Dan menjadi permata ummi. ayah dan keluarga sepertimana tersirat di sebalik nama Fairuz Safiyyah, permata suci.


Allahu'alam.

Ummuzulfa
13 Jun 2008

Monday, June 9, 2008

BUDAK PINTAR DAN CITA-CITANYA

Memang sukar untuk mula menulis semula selepas lama bercuti.

Bercuti untuk melayan anak-anak dan menghabiskan masa bersantai.

Entah kenapa saya dilanda 'sindrom kemalasan melampau' yang tidak dapat saya justifikasikan sepanjang masa saya bercuti.

Semoga Allah menyelamatkan saya dari terus diserang oleh sindrom tersebut.

Justeru, banyak masa saya habiskan di depan TV. Dengan ketiadaan Astro dan tiada ariel yang tinggi, hanya TV3 (?suku :D gurau je) yang menjadi teman kami sepanjang masa kerana siaran TV percuma lain hanya 'hujan lebat' yang menghiasi skrinnya.

Kebetulan, di satu tengahari,TV3 menghidangkan siaran Wanita Hari Ini dengan topik berkaitan keibubapan, dengan fokus mengenali dan mengendali anak yang pintar cerdas.




Salah seorang tetamunya adalah seorang ibu berbangsa Tionghua dengan anaknya yang berumur 7 tahun yang dikatakan pintar.

Saya tidak pasti apakah kepintaran adik itu. Tidak dinyatakan secara khusus apakah kepandaiannya berkaitan dengan bidang matematik seperti Adi Putra atau di bidang seni lukis atau linguistik.

Tetapi beliau sangat 'low profile' dan merendah diri.

Bila pengacara menanyakan apakah perasaannya menjadi seorang yang istimewa, beliau menjawab , dia tidak suka orang mengatakan dia adalah istimewa dan dia suka bergaul dengan orang lain macam biasa.

Anak itu nampaknya telah diasuh dengan baik oleh ibunya.

Tetapi yang paling menarik hati saya apabila pengacara bertanya tentang cita-citanya apabila dewasa kelak.

Jawabannya adalah di luar jangkaan saya.

Beliau ingin menjadi seorang petani yang berbakti kepada alam sekitar dan juga tidak mahu menggunakan plastik beg kerana ia tidak mesra kepada alam sekitar.

Jawaban yang mengejutkan saya dan saya pasti ramai lagi di luar sana yang mungkin tidak menyangka seorang budak pintar cerdas sepertinya mempunyai cita-cita semurni itu.

Selama saya hidup, hampir tiada kanak-kanak yang memberikan jawaban tidak skema seperti itu. Biasanya kita akan dihidangkan dengan jawaban-jawaban klasik seperti (pada zaman saya kecil-kecil dulu dulu)

"saya nak jadi doktor'
"saya suka nak jadi cikgu"
"saya nak jadi askar"


Mungkin pada zaman sekarang mungkin ada kanak-kanak nak menjadi Mawi, peserta Tom-tom bak atau pelakon.
Anak sulung saya pernah sekali memberi jawaban ingin menjadi petrol -pump girl kerana nampak seronok dapat banyak duit.

Tetapi menjadi petani????




Yang pasti anak kecil itu telah diasuh sayangkan alam sekitar sedari kecil lagi dan mungkin dengan kesedaran itu beliau memilih untuk menjadi petani yang menggunakan kaedah organik pastinya.

Saya terfikir sendiri.

Pernahkah saya semaikan semangat sayangkan alam sekitar saya kepada anak-anak saya yang semakin membesar?

Adakah saya menunjukkan contoh terbaik saya kepada anak- anak untuk menjadi seorang yang peka terhadap keperluan alam sekitar yang semakin mendesak?

Adakah saya cukup menekankan bahawa Islam itu sangat mementingkan kesejahteraan alam sekitar?

Jawaban anak kecil itu seperti satu renjisan air di muka saya, yang menyedarkan saya tentang perlunya saya membuat sesuatu.

Walaupun saya pergi membelah-belah dengan menggunakan beg saya sendiri dan cuba sedaya upaya untuk tidak menggunakan beg plastik yang dibekalkan oleh pihak penjual, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk kebaikan alam sekitar kita.

Kalau ramai kanak-kanak yang mempunyai niat murni seperti adik kecil tadi, maka kita mungkin tidak akan mengalami masalah pemanasan global yang menyumbang kepada ketidak tentuan cuaca dunia dan peningkatan harga-harga komoditi.

Saya rasa kita semua patut berbuat sesuatu.....


Allahu'alam

Ummuzulfa
10 Jun 2008

Free Counters
Petco Promotion Code