Tuesday, October 26, 2010

MESIN PENCURI MASA






"Ayah, berapa gaji ayah satu jam", si anak bertanya

"lebih kurang RM150 sejam, kenapa?" si ayah berasa pelik dengan pertanyaan si anak.

"Ini ada duit, boleh tak saya bayar gaji ayah selama satu jam dan ayah main dengan saya" si anak memberi penjelasan.

Itu adalah sedutan dari satu email yang saya terima lama dahulu. Antara lain menceritakan betapa si anak dahagakan kasih sayang dan perhatian dari ayahnya.

Saya merasakan keadaan ini boleh juga melibatkan si ibu memandangkan kebanyakan dari para ibu sekarang adalah wanita berkerjaya.
Masakan tidak, tanggungan yang semakin bertambah, tekanan di tempat kerja ditambah lagi dengan keadaan trafik yang selalu "jem" memang memenatkan ibu bapa yang bekerja.

Bagi si ibu pula, setiba di rumah, banyak kerja dan agenda lain yang perlu pula dibereskan.

Bermain dengan anak-anak mungkin adalah agenda yang terakhir, itupun sekiranya 'termasuk' di dalam aturcara.

Teringat saya satu kisah benar yang diceritakan oleh seorang pendakwah....

Anaknya berubah perangai menjadi lasak dan nakal dan mula bercakap tentang soal kematian yang disangkanya sebagai jalan penyelesaian yang terbaik.
Seusia 5-6 tahun sudah mula bercakap tentang soal yang abstrak itu gara-gara kesibukan ibu bapa dengan tugas-tugas seharian.

Anak itu merasakan dirinya kurang diberi perhatian dan kematian adalah jalan terbaik baginya.

Dan dengan penuh tanggungjawab , mereka suami isteri menemui pakar psikiatri untuk mendapatkan bantuan.

Dan bila ditanya bilakah mereka memberi perhatian kepada anak-anak...seperti kebanyakan ibu bapa lain beliau menjawab bila anak-anaknya bergaduh.

Ya, kita selalunya memberi perhatian kepada mereka bila mereka bergaduh sedangkan yang sebetulnya kita sepatutnya memberi perhatian kepada semasa mereka tidak bergaduh, membuat kerja sekolah dengan aman dan semasa mereka bermain-main.
Pujilah mereka , berikan semangat dan tunjuk ajar dan tegurlah secara baik.

Barulah mereka akan terasa kasih sayang ibu bapa.

Namun bagi kebanyakan kita hari ini, ia bukan semudah yang dikata.

Bila sampai ke rumah....

Ada saja kerja yang ingin disegerakan.

Ada saja 'live telecast' bola sepak di Astro yang wajib ditontoni


Ada saja blog,website yang perlu dikemaskini secepat mungkin.Belum lagi status-status yang perlu dikongsi di facebook dan twitter, juga "kebun-kebun maya" yang perlu dijaga setiap hari.


Ada saja 'presentation" yang perlu di "power point"kan.





Semuanya harus disegerakan.
Semuanya harus disiapkan.

Alatan berguna ini, jika tidak kena gayanya boleh menjadi "mesin pencuri masa' kepada ibu bapa.


'alah....janganlah kacau ayah, ayah ada kerja ni", belum sempat anak ingin bermanja, arahan sudah dikeluarkan.

'Mainlah kat sana, ibu tengah buat kerja ni", ibu pula menolaknya ketepi.

Jadi tidak hairanlah jika anak-anak akan menunjukkan "belangnya" semata-mata untuk menarik perhatian ibu bapa.

Malah alatan tidak bernyawa ini kadang-kala boleh mengubah minda ibu bapa yang lebih sayangkan skrin, anak dan rumah virtual mereka dari manusia bernyawa yang berada di depan mata.

Bukan senang ingin memberi perhatian kepada anak-anak di celah-celah kesibukan kita sebagai ibu bapa.
Ditambah lagi sekiranya mempunyai anak yang ramai dengan umur yang berbeza.

"alah...umi ni asyik dengar cerita kakak aje, tak nak dengar cerita Nurul pun" anak pertama dan kedua saya berebut inginkan 2 telinga saya untuk mendengar cerita-cerita mereka di sekolah.


"umi.....tengok ini mi...(tengok sini , umi)" Zulfa yang sudah berumur 3  tahun pula akan cuba mencuri perhatian saya sambil menolak-nolak laptop di depan saya.

"umi....nak dengar lagu baru yang Fairuz belajar kat sekolah" Fairuz pula menyelit.

Itu belum lagi Wafa yang akan menarik-narik tangan ajak berbaring untuk menenen.

Kadang-kadang menoleh ke kanan salah, ke kiri pun salah.Kalau tak kena gaya, boleh hampir gila dibuatnya.
Sememangnya menjadi ibu bapa di zaman milenium ini bukan senang, dan tidak adil untuk kita membandingkan cara ibu bapa kita membesarkan kita dengan zaman sekarang.

Walau sesibuk manapun kita, tanggungjawab memberi perhatian kepada anak-anak tidak dapat tidak perlu dilakukan.
Anak-anak menafsirkan kasih sayang dengan perhatian yang kita berikan kepada mereka.
(LOVE EQUAL TO ATTENTION)

Bersungguhlah mendengar cerita mereka, bermainlah dengan ikhlas, berguraulah dengan mesra dan hadirkanlah segenap diri kita di dalam kehidupan mereka.
Insya Allah kita akan menjadi insan istimewa di dalam hati anak-anak

Saya teringat kepada satu kata-kata "A GREAT MAN IS NOT A GREAT FATHER" yang saya kira boleh juga ditujukan kepada para ibu.
Sekiranya kita tidak pandai membahagikan masa untuk kerjaya dan kerja-kerja sampingan dengan masa bersama keluarga, kata-kata di atas boleh menjadi kenyataan.

Sekiranya kita bersederhana dan cuba menyeimbangkan di antara banyak perkara di dalam kehidupan ini, kata-kata itu boleh dinafikan kebenarannya.

Jadi kepada semua ibu dan bapa di luar sana...

Tidak kiralah anda seorang pengarah, ahli politik, ahli perniagaan atau apa saja, luangkanlah masa bersama anak-anak anda.

Sebelum mereka 'dicuri' oleh rakan-rakan sebaya mereka, playstation, Friendster, Facebook, MP3 segala.....jadikanlah diri kita orang terpenting di dalam hidup mereka.



Semoga Allah menjadikan mereka sebagai penyambung amalan kita di dunia bila kita tiada lagi di alam fana' ini, Insya Allah.




Allahu'alam



Ummuzulfa
11 Feb 2009

kemaskini 26 Oktober 2010

Free Counters
Petco Promotion Code