
"Eh kak...kenapa gambar ini akak ada 3 dan bertindih pulak....macam mana akak ambil gambar ni?" ada adik yang bertanya.
"itulah yang akak belajar dalam kelab fotografi kat sekolah" saya memberi penerangan.
Itu adalah antara dialog saya dengan adik saya (tak ingat yang mana satu, maklumlah adik ada 7 orang) lama dahulu.
Aktiviti fotografi adalah salah satu aktiviti yang sudah lama saya tinggalkan. Bukan bermakna sebelum ini saya selalu melakukannya, malah selepas sekolah menengah, pertemuan saya dengan kamera hanyalah untuk menangkap gambar-gambar keluarga yang jauh dari status amatur juga.
Namun, seiring dengan peningkatan umur, minat saya terhadap fotografi kembali timbul. Saya rasa ia banyak diransang dengan penglibatan saya dengan penulisan di dunia maya yang sering kali gambar dijadikan antara perencah wajib untuk menghidupkan tulisan.
Saya mencari-cari titik permulaan untuk melangkah (dan mengekalkan momentum ) ke dalam hobi baru ini.
Bukan mudah saya kira, dengan tugasan hakiki yang sangat mengambil masa, untuk terlibat di dalam hobi yang seperti ini.
I will follow my own pace, I guess.
Cetusan dari itu, saya amat teruja bila mengetahui adanya pameran fotografi oleh salah seorang jurugambar terkenal British yang diadakan di Kuala Lumpur.
Saya hanya mengetahui nama Peter Sanders lewat helaian mukasurat Milenia Muslim yang beberapa kali memaparkan hasil kerja beliau.
Pamerannya yang bertajuk "Muslim in Britain" sangat menarik hati saya. Saya juga sangat berminat untuk mengetahui kepelbagaian rupa Muslim di seluruh dunia jadi saya kira ini adalah peluang yang tidak patut dilepaskan.
Ditambah lagi Milenia Muslim juga melaporkan bahawa Raja Muda Perak, YAM Raja Nazrin juga telah mencemar duli untuk melawat pameran yang diadakan di Muzium Kesenian Islam itu.
Hasrat saya tercapai jua walaupun hanya berkesempatan untuk 'lari' sekejap ke Kuala Lumpur pada hari terakhir pameran, 20 April lalu.
Disebabkan oleh kesibukan suami yang nampaknya tiada kesudahan, saya terpaksa mengambil cuti dan menggunakan perkhidmatan komuter untuk ke sana seorang diri. Satu 'mini-pengembaraan' solo saya untuk ke sekian kalinya ke Kuala Lumpur.
Jarak Muzium yang tidak jauh dari stesen komuter Kuala Lumpur memudahkan urusan saya berjalan kaki, alhamdulillah.
Namun, hari yang panas memang meletihkan dan terowong yang menjadi lintasan bawah tanah untuk menyeberang jalan agak menakutkan.
Alhamdulillah, saya dijauhkan dari segala jahat manusia dan jin pada hari tersebut.
Ini adalah kali kedua saya ke Muzium Kesenian Islam yang terletak bertentangan dengan Masjid Negara itu. Kali pertama bersama dengan keluarga beberapa tahun yang lalu.
Tiket yang berharga RM12 pada saya agak mahal kerana ruang pameran fotografi itu tidak sebesar mana, namun harga tiket itu merangkumi ruang-ruang pameran yang lain di tingkat atas.
Melangkah masuk ke ruang pameran, saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dan membaca biografi ringkas berkenaan Peter Sanders.
Saya merasa teruja dan gembira, dapat menikmati serba-sedikit kehidupan budaya Muslim terutamanya di Britain.
Saya sering terfikir, kita di Malaysia kadang-kadang sering ditenggelamkan dengan isu-isu berkaitan dengan Melayu yang sempit namun sebenarnya ramai lagi saudara Muslim kita di seluruh dunia dengan kepelbagaian budaya dan cara hidup yang masih kita tidak ambil peduli.
Jauh di sudut hati saya,mengharapkan agar suatu hari nanti, anak-anak saya dapat menghargai kesatuan akidah di dalam kepelbagaian ini.
Islam itu sangat indah dan sangat mementingkan persaudaraan.Justeru itu secara peribadi saya kagum dengan usaha-usaha seperti ini.
Gambar-gambar wanita "Caucasian Muslim" menghiasi sebahagian besar dari isi pameran ini.Ini untuk menggambarkan tentang besarnya peranan wanita Muslim di Britain yang menyumbang kepada pembangunan negara tanpa mengorbankan identiti Muslim mereka.
Wanita-wanita professional ini digambarkan sebagai mereka yang patriotik yang berhijab dengan bendera negara masing-masing.
Mata dan wajah mereka seolah-olah berbicara dengan pemerhati yang setia menatap wajah mereka.
Muslim di Britain digambarkan mempunyai peranan besar di dalam banyak aktiviti.
Ada di antara mereka adalah pakar bedah, reflexologist,pakar kewangan dan berbagai lagi.
Mereka menyumbang kepada Britain dengan cara mereka sendiri.
Ada beberapa gambar yang memberi kesan kepada saya.
Gambar sekeluarga yang sangat 'mix". Suami yang berasal dari Eropah berkahwin dengan isterinya dari Jepun.Mereka disatukan atas keindahan Islam, Masya Allah.
Juga gambar seorang Muslim yang dijemput untuk mengalunkan azan di dalam gereja semasa satu upacara agama Kristian.
Gambar dan naratif nya sangat menyentuh hati.
Saya tidak pasti samada kejadian seperti ini dibenarkan di Malaysia atau tidak.
Teringat saya tidak lama dahulu, heboh juga diperkatakan oleh ramai orang bila seorang ahli parlimen melawat gereja atas nama persahabatan dan dakwah.
Ada pendapat yang mengatakan orang Islam terlalu "memberi muka" kepada non-muslim.
Entahlah...saya tak berani nak komen sangat.
Gambar seorang lelaki yang sedang solat di tengah-tengah ladang gandum juga memberi impaknya yang tersendiri.
Seolah-olah ingin menyatakan kepada kita bahawa solatlah di mana sahaja di atas bumi Allah ini.
Selain dari itu,gambar masjid tertua di Britain juga ada dipamerkan.
Juga kisah ringkas sebuah gereja yang telah dibeli menjadi sebuah pusat Islam yang masih memberi ruang khas kepada paderi perempuan di tingkat bawah bangunan tersebut.
Sejarah kedatangan Islam di Britain juga ada diselitkan di satu ruang di pameran tersebut.
Sememangnya sejarah banyak meninggalkan pengajaran kepada kita yang kemudian, kepada siapa yang sanggup merenungnya.
Secara keseluruhannya, saya merasa gembira dengan 'pengembaraan' singkat saya ini.
Walaupun saya tidak dapat merasai sendiri suasana di negara tersebut , namun sedikit sebanyak saya dapat menghayatinya.
Namun saya sebenarnya mengharapkan lebih banyak gambar dan mesej boleh dipamerkan dan difahami.
Secara peribadi, saya merasakan bidang fotografi boleh menjadi medan dakwah yang hebat.
Foto-foto boleh menjadi penghubung generasi dan budaya tanpa penggunaan bahasa yang sukar difahami.
Gambar boleh membawa seribu makna dan mesejnya sering boleh menjadi lebih jelas dari kata-kata.
Alangkah seronoknya kalau saya dapat mempelajari walau sekelumit pun kemahiran berfotografi ini.Sekurang-kurangnya dapat meninggalkan mesej yang bermakna untuk anak-cucu saya kelak.
Mungkin sudah sampai masanya saya menambah koleksi azam (setengah) tahun baru saya dan mengumpul duit untuk D-SLR yang menjadi idaman dan igauan saya. :D
Doa-doakan...
Allahua'lam
Ummuzulfa
28 April 2009
Nota : semua gambar ini saya ambil semasa lawatan saya ke pameran tersebut.Tiada larangan untuk membawa kamera dan mengambil foto di dalam galeri pada hari tersebut.Saya berharap ia tiada copy right issue, namun saya amat menghargai sekiranya sesiapa yang ingin menggunakan koleksi gambar ini dapat menghubungi saya terlebih dahulu.